16 February 2008

Poem by a Teenager (4) | Puisi Seorang Remaja (4)

>
Penghujung Bulatan

Kata orang

orang itu gila.


Aku memerhati orang gila itu

dia melukis bulatan di atas tanah

dan berjalan-jalan mengelilinginya

aku bertanya orang gila itu

“engkau buat apa?”
jawabnya

“aku lukis suatu bulatan
“aku berjalan mengelilinginya
“aku mahu sampai
.... ....
ke penghujungnya.”


Kemudian kubaca rencana

tentang masalah dunia

kumahu uji orang gila itu

lalu kubertanya

“apa penyelesaian masalah dunia?”

jawabnya selamba

“mereka lukis suatu bulatan
“mereka berjalan mengelilinginya
“mereka mahu sampai
.... ....
ke penghujungnya.”


Aku nyaris ketawa

mendengar igauan orang gila itu

tetapi kusedar tiba-tiba

orang gila itu

....
bukan sebenarnya gila

para penyelesai masalah dunia

....
merekalah yang gila

dan bulatan di atas tanah itu

....
sudah tentu

.... ....
tidak berpenghujung.


Oleh:
Wira Budiman Azizan, 15 tahun (Mei 1995)

Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa
, Dewan Bahasa & Pustaka (Ogos 1995)