Alang-alang aku dah bukak cerita pasal puisi “Manis” dalam blog post yang sebelum ni, aku fikir elok saja aku paste keenam-enam buah puisi yang tersiar dalam Dewan Sastera Jun 2008. Lagipun, itu majalah bulan lepas, so tak salah untuk aku siarkan semuanya dalam blog ni. Rencana yang turut dimuatkan dalam majalah tu, bertajuk “Penulisan sebagai Teman”, akan aku paste dalam blog post yang seterusnya.
Anyway, puisi2 berikut ada yang ditulis semasa zaman sekolah, ada yang ditulis semasa zaman universiti. Samalah macam puisi2 yang aku paste di sini beberapa bulan lalu.. Dah lama dah..
Superman Itu Wujud
Ketika tahun umurku tiga
cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “Superman hanyalah rekaan pengarang
.... .... berpakaian dalam dan terbang-terbang
.... .... benarkah dia kaujadikan ikutan?
.... .... kelak kau mati lompat bangunan.”
Dewasa sangkakan aku bodoh!
Ketika tahun umurku enam
tetap cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tidakkah kausedar muslihat asing
.... .... Superman itu sebenarnya pancing
.... .... mestikah ‘hero’ berkulit putih, bermata biru?
.... .... kelak Baratlah menjadi kiblatmu.”
Dewasa sangkakan aku bodoh!
Ketika tahun umurku sembilan
Masih cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tugas kau belajar, kemudiannya bekerja
.... .... menjadi kaya mendapat nama
.... .... bukankah itu cita-cita bangsa?
.... .... kelak kau akan matang juga.”
Dewasa sangkakan aku bodoh!
Wahai dewasa golongan penguasa
jangan kerana kau sudah dewasa
.... .... kaufikir dirimu benar sentiasa
jangan kerana kumasih kecil
.... .... kaufikir diriku berakal kerdil.
Aku bukannya budak hingusan bodoh
yang mudah diceroboh fahaman hodoh
atau dipengaruh kelakuan tak senonoh.
Cita-citaku ingin menjadi Superman
.... .... bukan kerana dia “orang terbang”
.... .... bukan kerana kukiblatkan Barat
.... .... bukan kerana kubenci realiti
namun kagumku hanyalah cuma
.... .... pada usaha dan sumbangan bermakna
.... .... dia yang tak pernah meminta-minta
.... .... balasan nama, pangkat & harta!
SUPERMAN ITU WUJUD!
Dan dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana pantasnya memintas peluru
.... .... tapi kerana ikhlasnya membantu insan yang perlu
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana gagahnya menggugah jentera
.... .... tapi kerana tabahnya membela yang terabai, terdera
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana kuasa luarbiasa
.... .... tapi kerana budi dan jasa.
Dia sukar dilawan
kerana dia sukarelawan!
Oleh:
Wira Budiman Azizan
sempena Tahun Sukarelawan Antarabangsa
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Manis
Ada yang gelap, pudar
ada yang cerah, terang
.... .... ada yang pendek
.... .... ada yang panjang
ada yang lembut, licin
ada yang keras, kasar
.... .... ada yang kecil
.... .... ada yang besar.
Sejak bermula
pelbagai jenis
.... .... sudah sempurna
.... .... baik-buruknya
gula-gula
bersifat manis
.... .... bukan kerana
.... .... rupa bentuknya.
Oleh:
Wira Budiman Azizan
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Taasub
Tersebar khabar nan berperisa
selera wartawan antarabangsa:
“M pengotor, firaun diktator
penggila kuasa, pembela pemangsa
.... .... pesta undinya mencerap palsu
.... .... akta kejinya menyerap isu
mulia mahkamahnya didokong sampah
media penyembahnya dikongkong sumpah
.... .... dan mulut
.... .... yang benar tak dapat menjamah.”
Tuduhan asing terhadapmu M
tak mungkin membuatkan kuterpedaya
jangan kau bimbang, pemimpinku M
Milosevic Serbia Raya.
Tersebar khabar nan berpewarna
tinta pembangkang dalam negara:
“M penyamun, diktator firaun
pembolot harta, pembelot cinta
.... .... dasarnya tiada penerapan telus
.... .... sasarnya pada pemerapan fulus
amanah rapuhnya menyara ‘kroni’
kerenah angkuhnya mendera madani
.... .... dan tangan
.... .... yang salah tak dapat digari.”
Tuduhan samseng terhadapmu M
tak mungkin membuatkan kupercaya
jangan kau bimbang, pemimpinku M
Milosevic Serbia Raya.
Kau sempurna, kau bijaksana
penambat, penyekat sahabat durjana
kau luarbiasa, kau berjasa
pengubat, pengangkat martabat bangsa.
Kaulah wira, kaulah juara
berkesan, berani, berwawasan, murni
akan kukenang, akan kucanang
jangan kau bimbang, pemimpinku M!
Oleh:
Wira Budiman Azizan (5-7 Oktober 2000)
sempena kejatuhan Slobodan Milosevic
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Bukannya Lilin
Andainya kuingin pertahankan
suatu perumpamaan lazim
cukuplah kusamakanmu
dengan “lilin nan menyumbangkan cahaya
dalam kegelapan penuh bahaya
tatkala diri teraniaya”
namun itu
tetap tidak kupercaya!
Dalam menyumbangkan cahaya
garis-garis sinar lilin kan tempang
sekali dihalang pepejal sebarang.
Dalam menerangkan kegelapan
nyalaan lilin kan layu
sekali disapu angin yang lalu.
Dalam membiarkan diri teraniaya
manfaat lilin kan selesai
sekali terurai sumbu dipakai.
Walau kusedari di kalangan yang lain
ada juga lilin yang tulen
dirimu bukan seperti mereka
kerana ibadat kerjayamu suatu perjuangan
kerana ketabahanmu suatu teladan
kerana manfaat pengorbananmu suatu keabadian.
Keranamu
perumpamaan lazim menjadi zalim...
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 18 tahun (Februari 1998)
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Malam Air Mata Lelaki
Air mata kita
malam ini
kelemahan kaum Adam
.... .... atau
kekuatan persaudaraan terpendam?
Kita perlu malu
andainya malam ini
kanta mata kita
beku tanpa rohnya
kering tak beriring.
Kita perlu malu
andainya malam ini
diari memori lari
mengewap tanpa jasadnya
hilang tak dikenang.
Mata-mata yang merah
pipi-pipi yang basah
suara serak terpatah-patah
mengungkap kembali segala sejarah
persekampungan separuh dasawarsa
persahabatan sepenuh rasa.
Selepas malam ini
kita pasti berjumpa lagi
kita pasti bermesra kembali
berlawak jenaka pelbagai gaya
tetapi pastinya juga
keadaan tak akan sama
kerana malam ini
adalah sempadan suasana.
Maka anak-anak jantan
menangislah malam ini
kenanglah malam ini
kerana malam ini tak mungkin kembali
dan
kita tak perlu malu.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 17 tahun (16 Disember 1996)
sempena suatu majlis perpisahan
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Isy, Isy, Isy...
Malam ini
meskipun lena yang kulaparkan
meskipun mimpi indah yang kudahagakan
belum dapat kutidur lagi
mungkin kerana tadi
sepanjang siang kusaksikan
suatu pesta seni
lukisan-lukisan kehidupan
kulihat hamba-hamba bergelar raja
kulihat raja-raja bergelar hamba
kulihat enggang;
.... .... hidupnya senang
.... .... .... .... langitnya lapang
kulihat pipit;
.... .... hidupnya perit
.... .... .... .... langitnya sempit
itupun
baru sesudut yang kutinjau
di pesta seni itu
isy, isy, isy...
gantikanlah temanya
dan benarkanlah aku tidur
sekenyang-kenyangnya.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 16 tahun (Ogos 1996)
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
15 July 2008
Six Old Poems | Enam Buah Puisi Lama
Posted by Wira Budiman at 11:50 pm