01 January 2015

Kemaskini 2015 - Menjawab "Frequently Asked Questions": Fasa Merantau 2008-????

Kau di mana selama ni?

Sejak Mei 2008 sehingga kini, aku menjadikan UK sebagai negara angkat, sambil aku mengembara ke negara-negara lain sekitar Eropah, Afrika, Amerika Selatan (tapi ada lah juga pulang bercuti di Nusantara). Alhamdulillah fasa ini masih rancak dan belum berakhir.

Apa yang kau dapat selama ni?

Bermacam-macam pengalaman dan pengajaran. Aku bersyukur masih diberi peluang untuk meneruskan hidup sebagai perantau, menyaksikan tempat2 cantik dan menarik di benua2 asing, menemui individu2 istimewa (ternama dan tidak ternama) serta pelbagai jenis kumpulan manusia. Untuk hidup berdikari di luar zon selesa (tanpa mengharapkan sebarang bantuan jaringan biasa), sudah tentulah ada harganya. Dalam eksperimen ini, aku bersyukur kerana dapat memajukan diri sehingga ke peringkat sekarang. Laluan ini bukannya mudah, namun amat memuaskan setelah diredah! Dari aspek lain pula, aku berkesempatan menyaksikan pelbagai perkongsian seni/budaya/hiburan dan rekod ketamadunan manusia di sudut dunia yang serba teratur, kaya-budaya dan kaya-sejarah. Nota: Walaupun Facebook lah yang menjadi tempat aku berhubung dengan kawan2 di Malaysia, aku hanya kongsi sebahagian kecil sahaja daripada pengalaman2 tersebut di Facebook.

Apasal kau tak update blog?

Mengemaskini blog bukanlah kemestian. Blog post terakhir aku (sebelum yang ini) bertarikh 23 Julai 2008. Itupun aku sekadar copy-paste artikel aku yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera. Second-last paragraph dalam artikel panjang tu mungkin dapat memberitahu sesuatu kepada sesiapa yang sanggup membacanya. Aku hargai sokongan kawan2 yang sudi memahami. Salaam..

NOTA: Sebelum ini, setiap entry dalam blog ini (kecuali entry terakhir ini) mempunyai ruangan komen pembaca dan sesetengahnya mengandungi perbincangan2 yang sangat menarik. Aku telah menggunakan perkhidmatan Haloscan untuk menguruskan semua ruangan komen tu. Haloscan kemudiannya beralih kepada JS-Kit. Malangnya, JS-Kit telah berhenti beroperasi. Maka, ruangan komen dalam semua blog yang menggunakan perkhidmatan JS-Kit turut hilang! Ini bermakna, semua komen bagus yang ditulis oleh pembaca blog ini dan semua komen-balas yang aku tulis sudah tiada, dan  apa-apa ruangan komen baru terpaksa bermula semula dari kosong. Apa-apa pun, terima kasih atas semua komen korang sebelum ni.

NOTE: Previously, every entry in this blog (except for this final entry) had a readers' comment box and some of them contained very interesting discussions. I used the services of Haloscan to manage all those comment boxes. Haloscan
later moved on to JS-Kit. Unfortunately, JS-Kit is no longer in operation. Therefore, the comment boxes in all the blogs that used the service of JS-Kit have also been removed! This means, all the good comments that have been written by the readers of this blog and all the replies that I have written are now gone, and any new comment boxes would have to start from scratch. Nevertheless, I thank you for all your past comments.

23 July 2008

Penulisan Sebagai Teman

Berikut adalah rencana yang mengisi ruangan 'Alumni MPR' dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)

[Tajuk: sama seperti tajuk blog post ni]
[Gambar: aku tengah melepak dengan laptop dan secawan kopi]

Oleh: Wira Budiman

Semasa bergelar remaja dahulu, saya tidak pernah berkesempatan mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Setiap kali saya mendapat jemputan untuk menyertai MPR, jadual cuti saya sudahpun terisi serta bertembung dengan penglibatan dalam beberapa kegiatan lain seperti pertandingan bahas tahunan Piala Perdana Menteri (PPM).


Sungguhpun tidak dapat mengikuti MPR, saya telah dijemput menjadi ahli Kelab Alumni MPR setelah memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP sebanyak empat kali (1994-1997).


Saudara Hizairi Othman, iaitu Presiden pertama Kelab Alumni MPR, telah melantik saya sebagai ahli jawatankuasa kelab. Saya memegang jawatan kecil itu dari tahun 1998 hingga tahun 2000, dan sempat menyaksikan betapa gigihnya Saudara Hizairi dan rakan-rakan jawatankuasa tertinggi yang lain memimpin kelab muda yang diwarnai pelbagai personaliti itu.

Penulisan Semasa Kanak-Kanak

Saya mula berjinak-jinak dengan penulisan kreatif ketika berusia 7 tahun. Setiap pagi, guru saya di Holbrooks Primary School, England, meminta murid-murid menulis apa sahaja yang ingin diluahkan. Saya pula mengambil kesempatan itu untuk mencipta kisah-kisah dongeng asal-usul nama binatang dan sebagainya. “Karya-karya” saya sering dihargai oleh guru dan saya selalu diminta membacakan hasil penulisan saya kepada seluruh kelas.


Ketika di rumah pula, saya selalu melihat bapa saya tekun menaip tesis kajiannya. Apabila beliau berehat, saya pula yang menumpang mesin taipnya untuk menaip karangan secara suka-suka. Apabila beliau membeli komputer pertamanya, saya turut gembira kerana dapat menumpang komputer pula.


Lama-kelamaan, saya menaip karangan-karangan yang lebih serius yang melibatkan pandangan-pandangan saya (sebagai seorang kanak-kanak) tentang isu-isu pendidikan, alam sekitar, pengangkutan awam, perbandingan pengalaman di tiga negara dan lain-lain. Ketika berusia 9 tahun, saya mula menaip apa yang saya anggap sebagai sebuah “manuskrip buku luahan pandangan seorang kanak-kanak” yang menyentuh pelbagai isu serius tersebut.


Semasa berusia 11 tahun, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth. Ketika manuskrip “buku” saya hampir siap, ketika itulah juga saya menerima nasib yang malang. Suatu virus komputer telah mencerobohi disket kesayangan saya, menyebabkan saya kehilangan hampir seluruh manuskrip yang ditaip selama ini!


Pada zaman disket masih berukuran 5.25 inci itu, tiada perkakasan atau perisian komputer secanggih sekarang. Kesilapan besar saya ketika itu ialah saya tidak menyimpan hasil penulisan saya dalam beberapa salinan atau dalam bentuk salinan keras (hard-copy). Hanya beberapa muka surat sahaja yang tercetak untuk tujuan semakan format. Akibatnya, cita-cita saya untuk menerbitkan buku pertama pada usia 11 tahun bertajuk “Sebelum Dua Belas” tidaklah kesampaian.

Penulisan Semasa Bersekolah

Selepas Darjah 6, saya mendapat tawaran untuk belajar di sebuah sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR). Ketika itu, SDAR terletak di Jalan Sikamat, Seremban. Sekolah lelaki ini telah banyak mengajar saya takrifan hidup berdikari. Budaya di SDAR ketika itu benar-benar menampar dan menerajang saya ke alam realiti. Pelbagai pengalaman hitam dan putih tercampur-baur selama separuh dasawarsa.


Berlatarkan keadaan ini, penulisan menjadi saluran untuk saya “membebaskan diri” agar tidak sekadar berada dalam cengkaman pagar asrama. Idea-idea saya lazimnya menyentuh dan berkias tentang isu-isu kenegaraan dan kemasyarakatan, tetapi sesekali saya menulis juga tentang pengalaman peribadi. Ibu bapa saya, iaitu Puan Patimah Shamsu dan Dr Azizan Bahari, sentiasa memberi sokongan walaupun berada jauh di utara tanahair.


Pada mulanya, saya menulis untuk simpanan peribadi sahaja. Namun, ketika berusia 13 tahun (awal 1993), saya memilih untuk mencuba nasib dan telah menghantar esei pendapat saya kepada Dewan Siswa. Alhamdulillah, pendapat saya telah disiarkan dan semenjak itulah saya rajin “berurusan” dengan media.


Secara ringkasnya, apa yang saya pernah tulis pada usia 12 tahun (1992) sehingga 17 tahun (1997) telah menemui tempatnya dalam beberapa akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro, Minda Pelajar, Youthquake, Akhbar Jiran (Jabatan Perpaduan Masyarakat) dan yang paling kerap; Dewan Siswa. Kebanyakan hasil penulisan saya yang tersiar adalah puisi, manakala yang selebihnya adalah cerpen dan esei.


Saya bersyukur kerana dikurniakan rezeki memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP sebanyak empat kali dari tahun 1994 hingga tahun 1997 menerusi puisi-puisi “Racun”, “Malang?!”, “Gah” dan “Menara”. Puisi-puisi ini kemudiannya telah dimuatkan dalam empat buah antologi DBP iaitu Suatu Impian, Perjuangan, Harapan di Joyrampur dan Perjalanan Jarum Jam. Puisi-puisi lain yang pernah dipertandingkan untuk hadiah yang sama ialah “Terjajah (Di Mana Bumi Kupijak)” dan “Penghujung Bulatan”. Sehingga hari ini, saya menghargai sokongan dan pesanan daripada para pengkritik dan juri Hadiah Sastera Siswa DBP, iaitu Profesor Rahman Shaari, Dr. Lim Swee Tin, A. Rahim Abdullah dan Allahyarham Othman Puteh.


Karya-karya saya yang pernah memenangi hadiah dalam pertandingan-pertandingan yang lain pula ialah cerpen “Kisah Anak Bangsa”, cerpen “Bersalah” dan puisi “Nasib Ayam”.


Saya juga menjalankan tugas-tugas sebagai pengarang dan penulis majalah bulanan dan majalah tahunan SDAR. Selepas tamat persekolahan, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bagaimanapun, atas keinginan saya untuk menjadi mahasiswa di Malaysia, serta minat saya untuk mengikuti perkembangan politik tanahair ketika itu, saya memilih pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM).

Penulisan Semasa Bergelar Mahasiswa

Sepanjang menjadi mahasiswa UM, saya sempat mengikuti krisis politik yang melanda negara pada penghujung dekad 1990an serta kesan-kesannya kepada gerakan-gerakan politik kampus. Saya terus menulis dalam penerbitan-penerbitan kecil di peringkat fakulti, kampus dan luar kampus. Sudah jarang sekali karya-karya dan esei-esei pendapat saya dihantar kepada media arus perdana, walaupun masih ada yang tersiar dalam beberapa akhbar utama.


Masa dan tenaga saya lebih ditumpukan kepada penyelarasan dan pengurusan projek-projek mahasiswa serta kegiatan-kegiatan seni pentas, Sungguhpun begitu, saya tidaklah pula terpisah terus dengan dunia sastera. Kerapkali saya diminta mengacara majlis secara langsung dan apabila mengacara dalam bahasa Melayu, saya cuba memastikan bahawa pengucapan saya lengkap dengan ciptaan pantun dan syair yang bersesuaian serta kata-kata yang menonjolkan keindahan bahasa Melayu.


Saya juga mula melibatkan diri dalam kegiatan mendeklamasi puisi dalam lakonan. Pada tahun 1999, penganjur Festival Seni UM telah memperkenalkan kategori pertandingan baru iaitu manifestasi puisi. Pasukan saya telah menjuarai pertandingan sulung manifestasi puisi ini. Semenjak 1999 juga, saya telah dijemput untuk melakonkan puisi dalam pelbagai jenis acara. Dalam suatu majlis sempena memperingati Sasterawan Rusia Alexander Pushkin, saya telah menterjemahkan puisinya mengikut pola rima asal a-a-b-b kepada bahasa Melayu dan melakonkannya. Dalam acara-acara lain pula, seperti Malam Tinta Kencana DBP (2000), saya diberi peluang melakonkan puisi-puisi nukilan sendiri.


Antara acara-acara puisi dalam lakonan yang tidak dapat dilupakan adalah yang melibatkan sambutan-sambutan peringkat kebangsaan. Pada tahun 2000, saya telah melakonkan puisi “Bukannya Lilin” dalam suatu acara yang dirasmikan oleh seorang menteri kabinet. Menteri tersebut kemudiannya menjemput saya untuk melakonkan puisi sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan pula. Pada tahun 2001, saya melakonkan puisi “Superman Itu Wujud” yang disaksikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Pelancaran Tahun Sukarelawan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Selesai sahaja acara tersebut, Datuk Seri telah memanggil saya dan bertanya tentang minat saya, termasuklah sama ada saya ingin berpolitik. Memandangkan ketika itu saya sudah tidak melihat diri saya sebagai ahli politik, saya sekadar membuatkan ekspresi muka kurang berminat. Datuk Seri memahami reaksi saya.


Saya pernah beberapa kali dijemput menyampaikan puisi-puisi nukilan sendiri dalam rancangan televisyen “Anjung Budi” dan slot berita RTM.

Penulisan Semasa Sudah Bekerja

Apabila tamat peperiksaan akhir di UM, saya ditawarkan kerja sebagai Wartawan Penyiaran Eksekutif di TV3 dan bertugas menerbitkan program-program perniagaan berbahasa Inggeris. Saya kemudiannya menjalani Latihan Dalam Kamar (pupillage) di sebuah firma guaman sehingga ditauliahkan sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Pada tahun 2005, saya menubuhkan firma perunding Wira Budiman & Associates sebagai wahana kecil-kecilan untuk menjalankan program-program pembangunan modal insan serta perhubungan awam.


Sejak melewati gerbang dunia pekerjaan, saya hanya terlibat dengan beberapa penerbitan kecil. Beberapa buah puisi saya telah dimuatkan ke dalam antologi KataHati yang dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006. Saya juga telah ditugaskan menulis buku nostalgia sejarah berkulit keras iaitu Lakaran Warisan yang diterbitkan pada tahun 2007. Peranan saya dalam penerbitan-penerbitan lain pula adalah sebagai penterjemah atau penyemak. Adakalanya, bila saya fikir perlu atau saya rasa mahu, saya menulis di blog peribadi saya iaitu www.wirabudiman.blogspot.com. Ilham rambang tetap tercetus pada pelbagai waktu, namun luahan pemikiran dan perasaan saya tidak semuanya saya paparkan untuk khalayak umum.


Sama ada untuk dikongsi atau sebagai penawar diri, penulisan tetap menjadi teman setia yang mengiringi saya sepanjang perjalanan hidup.

15 July 2008

Six Old Poems | Enam Buah Puisi Lama

Alang-alang aku dah bukak cerita pasal puisi “Manis” dalam blog post yang sebelum ni, aku fikir elok saja aku paste keenam-enam buah puisi yang tersiar dalam Dewan Sastera Jun 2008. Lagipun, itu majalah bulan lepas, so tak salah untuk aku siarkan semuanya dalam blog ni. Rencana yang turut dimuatkan dalam majalah tu, bertajuk “Penulisan sebagai Teman”, akan aku paste dalam blog post yang seterusnya.

Anyway, puisi2 berikut ada yang ditulis semasa zaman sekolah, ada yang ditulis semasa zaman universiti. Samalah macam puisi2 yang aku paste di sini beberapa bulan lalu.. Dah lama dah..


Superman Itu Wujud

Ketika tahun umurku tiga
cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... Superman hanyalah rekaan pengarang
.... .... berpakaian dalam dan terbang-terbang
.... .... benarkah dia kaujadikan ikutan?
.... .... kelak kau mati lompat bangunan.”

Dewasa sangkakan aku bodoh!

Ketika tahun umurku enam
tetap cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tidakkah kausedar muslihat asing
.... .... Superman itu sebenarnya pancing
.... .... mestikah ‘hero’ berkulit putih, bermata biru?
.... .... kelak Baratlah menjadi kiblatmu.”

Dewasa sangkakan aku bodoh!

Ketika tahun umurku sembilan
Masih cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tugas kau belajar, kemudiannya bekerja
.... .... menjadi kaya mendapat nama
.... .... bukankah itu cita-cita bangsa?
.... .... kelak kau akan matang juga.”

Dewasa sangkakan aku bodoh!

Wahai dewasa golongan penguasa
jangan kerana kau sudah dewasa
.... .... kaufikir dirimu benar sentiasa
jangan kerana kumasih kecil
.... .... kaufikir diriku berakal kerdil.

Aku bukannya budak hingusan bodoh
yang mudah diceroboh fahaman hodoh
atau dipengaruh kelakuan tak senonoh.

Cita-citaku ingin menjadi Superman
.... .... bukan kerana dia “orang terbang”
.... .... bukan kerana kukiblatkan Barat
.... .... bukan kerana kubenci realiti
namun kagumku hanyalah cuma
.... .... pada usaha dan sumbangan bermakna
.... .... dia yang tak pernah meminta-minta
.... .... balasan nama, pangkat & harta!

SUPERMAN ITU WUJUD!

Dan dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana pantasnya memintas peluru
.... .... tapi kerana ikhlasnya membantu insan yang perlu
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana gagahnya menggugah jentera
.... .... tapi kerana tabahnya membela yang terabai, terdera
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana kuasa luarbiasa
.... .... tapi kerana budi dan jasa.

Dia sukar dilawan
kerana dia sukarelawan!

Oleh:
Wira Budiman Azizan
sempena Tahun Sukarelawan Antarabangsa

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)


Manis


Ada yang gelap, pudar
ada yang cerah, terang
.... .... ada yang pendek
.... .... ada yang panjang
ada yang lembut, licin
ada yang keras, kasar
.... .... ada yang kecil
.... .... ada yang besar.

Sejak bermula
pelbagai jenis
.... .... sudah sempurna
.... .... baik-buruknya
gula-gula
bersifat manis
.... .... bukan kerana
.... .... rupa bentuknya.

Oleh:
Wira Budiman Azizan

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)


Taasub

Tersebar khabar nan berperisa
selera wartawan antarabangsa:

“M pengotor, firaun diktator
penggila kuasa, pembela pemangsa
.... .... pesta undinya mencerap palsu
.... .... akta kejinya menyerap isu
mulia mahkamahnya didokong sampah
media penyembahnya dikongkong sumpah
.... .... dan mulut
.... .... yang benar tak dapat menjamah.”

Tuduhan asing terhadapmu M
tak mungkin membuatkan kuterpedaya
jangan kau bimbang, pemimpinku M
Milosevic Serbia Raya.

Tersebar khabar nan berpewarna
tinta pembangkang dalam negara:

“M penyamun, diktator firaun
pembolot harta, pembelot cinta
.... .... dasarnya tiada penerapan telus
.... .... sasarnya pada pemerapan fulus
amanah rapuhnya menyara ‘kroni’
kerenah angkuhnya mendera madani
.... .... dan tangan
.... .... yang salah tak dapat digari.”

Tuduhan samseng terhadapmu M
tak mungkin membuatkan kupercaya
jangan kau bimbang, pemimpinku M
Milosevic Serbia Raya.

Kau sempurna, kau bijaksana
penambat, penyekat sahabat durjana
kau luarbiasa, kau berjasa
pengubat, pengangkat martabat bangsa.

Kaulah wira, kaulah juara
berkesan, berani, berwawasan, murni
akan kukenang, akan kucanang
jangan kau bimbang, pemimpinku M!

Oleh:
Wira Budiman Azizan (5-7 Oktober 2000)
sempena kejatuhan Slobodan Milosevic

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)


Bukannya Lilin

Andainya kuingin pertahankan
suatu perumpamaan lazim
cukuplah kusamakanmu
dengan “lilin nan menyumbangkan cahaya
dalam kegelapan penuh bahaya
tatkala diri teraniaya”
namun itu
tetap tidak kupercaya!

Dalam menyumbangkan cahaya
garis-garis sinar lilin kan tempang
sekali dihalang pepejal sebarang.

Dalam menerangkan kegelapan
nyalaan lilin kan layu
sekali disapu angin yang lalu.

Dalam membiarkan diri teraniaya
manfaat lilin kan selesai
sekali terurai sumbu dipakai.

Walau kusedari di kalangan yang lain
ada juga lilin yang tulen
dirimu bukan seperti mereka
kerana ibadat kerjayamu suatu perjuangan
kerana ketabahanmu suatu teladan
kerana manfaat pengorbananmu suatu keabadian.

Keranamu
perumpamaan lazim menjadi zalim...

Oleh:
Wira Budiman Azizan, 18 tahun (Februari 1998)

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)


Malam Air Mata Lelaki

Air mata kita
malam ini
kelemahan kaum Adam
.... .... atau
kekuatan persaudaraan terpendam?

Kita perlu malu
andainya malam ini
kanta mata kita
beku tanpa rohnya
kering tak beriring.

Kita perlu malu
andainya malam ini
diari memori lari
mengewap tanpa jasadnya
hilang tak dikenang.

Mata-mata yang merah
pipi-pipi yang basah
suara serak terpatah-patah
mengungkap kembali segala sejarah
persekampungan separuh dasawarsa
persahabatan sepenuh rasa.

Selepas malam ini
kita pasti berjumpa lagi
kita pasti bermesra kembali
berlawak jenaka pelbagai gaya
tetapi pastinya juga
keadaan tak akan sama
kerana malam ini
adalah sempadan suasana.

Maka anak-anak jantan
menangislah malam ini
kenanglah malam ini
kerana malam ini tak mungkin kembali
dan
kita tak perlu malu.

Oleh:
Wira Budiman Azizan, 17 tahun (16 Disember 1996)
sempena suatu majlis perpisahan

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)


Isy, Isy, Isy...

Malam ini
meskipun lena yang kulaparkan
meskipun mimpi indah yang kudahagakan
belum dapat kutidur lagi
mungkin kerana tadi
sepanjang siang kusaksikan
suatu pesta seni
lukisan-lukisan kehidupan
kulihat hamba-hamba bergelar raja
kulihat raja-raja bergelar hamba
kulihat enggang;
.... .... hidupnya senang
.... .... .... .... langitnya lapang
kulihat pipit;
.... .... hidupnya perit
.... .... .... .... langitnya sempit
itupun
baru sesudut yang kutinjau
di pesta seni itu
isy, isy, isy...
gantikanlah temanya
dan benarkanlah aku tidur
sekenyang-kenyangnya.

Oleh:
Wira Budiman Azizan, 16 tahun (Ogos 1996)

Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)

27 June 2008

Nelson Mandela, Konsert Hari Ini, Keadilan Antara Kaum, Puisi "Manis"

"Freee-eee.. Nelson Mandela.."

Lirik lagu tu masih terngiang-ngiang di kepala aku. Ketika itu tahun 1988. Aku masih kecil. Rakyat UK telah mengadakan konsert besar-besaran di Stadium Wembley, England, sebagai tanda protes mereka terhadap dasar perkauman rejim Apartheid di Afrika Selatan ketika itu.. mereka, bersama warga dunia, menuntut pembebasan Nelson Rolihlahla Mandela..

Banyak telah berlaku semenjak itu. Dasar Apartheid telah dimansuhkan di Afrika Selatan. Nelson Mandela telah dibebaskan, malah sempat memimpin negaranya sebagai Presiden. Beliau terus menjadi inspirasi buat pejuang2 keadilan dan anti-perkauman di seluruh dunia. Aku pula menjadi remaja dan seterusnya dewasa, menyaksikan pelbagai sifat perkauman yang masih wujud di sekeliling aku. Ya lah. Itu realiti.

Hari ini, suatu konsert amal besar-besaran bakal diadakan untuk meraikan ulangtahun hari lahir Nelson Mandela yang ke-90. Acara ini bertujuan membantu perjuangan terkininya dalam meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS di rantau Afrika. Menyaksikan keterujaan media di UK memaparkan persiapan untuk acara ini hanya mengingatkan aku kepada konsert di Stadium Wembley yang diadakan 20 tahun dahulu. Kebetulan aku berada di sini semula ketika ini.

Sejak dibebaskan, Nelson Mandela telah melibatkan diri dalam pelbagai isu serta penyelesaian pelbagai konflik di rantau Afrika (konflik2 peribadi tu lain cerita la). Sungguhpun begitu, beliau barangkali akan lebih dikenang sebagai pejuang keadilan antara kaum. Puisi "Manis" adalah antara puisi2 aku yang tersiar baru2 ini. Yang memahami cara penulisan aku mungkin dapat mengagak apakah kaitannya dengan perjuangan insan2 seperti Nelson Mandela.

[Nota ditambah pada 15/7/2008: Puisi "Manis" telah di-delete di sini dan di-paste ke dalam blog post yang seterusnya.]

23 May 2008

Cerita Terbaru? (Facebook, Cuti Panjang Bermula, Kemunculan dalam Majalah Dewan Sastera Jun 2008)

Berikut adalah beberapa cerita terbaru yang takkan masuk dalam berita TV atau akhbar:

1)
Facebook

Aku baru je join Facebook. Mujurlah tak melalaikan sangat. Dapat pulak jumpa kawan2 yang dah lama aku lost contact. Tu yang syok tu. Terasa indah macam masa mula2 join Friendster dulu la katakan..


2) Cuti Panjang Bermula

Aku akan mula bercuti panjang dari 31 Mei 2008. Kalau tahun2 sebelum ni "cuti panjang" aku cuma selama sebulan atau dua bulan, kali ni cuti panjang aku akan jadi jauh lebih panjang daripada tu. Destinasi aku bukanlah tempat yang baru bagi aku, tapi ada perkara2 yang lebih menarik untuk aku buat di negara tu berbanding tahun2 yang lalu.


Aku putuskan bahawa fasa baru dalam hidup aku akan dimulakan semasa aku bercuti tu. Kepada yang bertanya aku bulan lepas (dan sehingga kini aku belum jawab), fasa baru yang dimaksudkan tu tak ada kaitan dengan urusan nikah-kahwin laa. Yang pasti, aku terpaksa melepaskan peluang untuk menghadiri beberapa majlis perkahwinan kawan2. Ada 3 orang kawan mintak aku jadi pengacara majlis diorang (salah sorang tu aku tau dia sesekali baca blog ni), tapi apa nak buat, cuti panjang aku ni dah lama dirancang. Tiket2 pun dah lama dibeli. Maaf sekali lagi, ye..

3) Kemunculan dalam Majalah 'Dewan Sastera' Jun 2008

Aku bakal mencemari majalah Dewan Sastera. Dalam keluaran bulan depan (Jun 2008), majalah tu akan memuatkan satu rencana tentang penglibatan aku dalam dunia penulisan sejak kecil hingga sekarang (masih kecil.. tapi konon2nya dah dewasa). Akan diselitkan sekali 6 buah sajak aku yang belum diterbitkan dalam mana2 media-sebaran-luas. Aku ni penulis yang biasa2 je. Bukannya aktif macam orang lain. Entah siapalah yang sebut nama aku kepada Dewan Sastera pada awal tahun ni (terharu jugak sebab masih ada yang ingat). Aku pun kirim je lah rencana ala autobiografi dan "beberapa buah puisi" seperti yang diminta.


Hmm.. aku rasa suspen lah. Macam mana agaknye rencana tu setelah diorang edit. Macam mana agaknya diorang susun sajak2 aku tu, sebab aku biasanya pentingkan kesan2 visual juga. Contohnya, kalau ada baris tu kelihatan panjang akibat ruang kosong (tab) sebelum perkataan pertamanya, aku harap diorang takkan patahkan baris tu menjadi dua baris pula. Selalunya, ada sebab mengapa aku letak sesuatu perkataan tu di hujung sesuatu baris. Apa2pun, aku berterima kasih sebab diorang sudi siarkan kesemua sajak yang aku kirimkan.

10 May 2008

Cinta Monyet = "Monkey Love" = "Cinta Anak Anjing" = Puppy Love

Aku teringat balik kisah cinta zaman kanak2 dulu. Ini semua kawan2 aku punya pasal lah.

Diorang masing2 tulis blog post tentang cinta zaman kanak2. Sorang tu tulis pasal iklan TV dia yang menang beberapa anugerah antarabangsa (aku tumpang bangga iklan dia menang anugerah2 berprestij dunia). Iklan TV tu pasal cinta sorang kanak2 lelaki Cina dan sorang kanak2 perempuan Melayu; tersiar sebagai salah satu iklan Petronas sempena Merdeka tahun lalu. Sorang lagi tulis pasal orang dewasa yang suka usik kan
ak2 yang berkawan dengan jantina berlainan, sehingga dah jadi pressure kepada kanak2 tu. Sorang lagi pulak tulis pasal kenang2an cinta zaman dia kanak2. Aku pun nak tulis pasal tu jugak lah. Haha.. gatal..

Masa aku kanak2 dulu, aku
takde kisah cinta yang bersifat dua hala.. Setakat ada crush (minat/syok) kat orang je lah.. dan seingat aku, taste aku pada pelbagai bangsa dan warna kulit.. hitam, putih, kuning, coklat (memang aku anti-Apartheid sejak 1980an lagi.. tak tipu!).

Crush pertama aku terjadi masa aku berumur 4 tahun. Aku tak ingat langsung nama budak perempuan tu, mahupun rupa dia. Sama ada aku betul2 syok kat dia pun, aku tak pasti. Yang pasti, mak aku bagitau aku, masa aku berumur 4 tahun dulu, mak aku menghendap aktiviti aku di sekolah (Infant School ala tadika), dan dia nampak aku cium pipi budak tu. Fuh. Mujurlah aku bukan public figure. Kalau tidak, memang leceh aku nak jawab skandal ni. Mak sendiri jadi saksi lak tu.. Eh, tapi ni dikira crush ke? Apa2 je lah..

Crush kedua aku pulak terjadi masa aku berumur 7 tahun. Budak perempuan tu setahun lebih tua daripada aku. Bila nak ke sekolah tiap2 hari, kami lintas jalan yang sama. Kadang2 kami kena pegang tangan bila lintas jalan sebab makcik yang jaga lalulintas tu suruh. Di sekolah, mulut dia agak cabul terhadap kawan2 aku tapi aku tetap syok kat dia (takde semangat kesetiakawanan langsung aku nih). Pernah sekali dia datang ke rumah aku bersama mak bapak dia. Bila diorang mintak aku main piano depan diorang, aku segan giler sebab dia ada kat situ. Aku tak sure sama ada aku main piano dengan sempurna atau tak di depan diorang, sebab aku self-conscious habis masa tu. Aku tau aku blushing, sebab masa tu aku dapat rasa muka aku jadi panas. Lepas diorang balik, aku diejek oleh kakak aku. Malu siot. Lepas tu mak bapak aku pulak kenen2kan aku. Aibbb...

Crush ketiga aku terjadi setahun kemudiannya. Budak perempuan tu dua tahun lebih tua daripada aku (tadi budak yang beza setahun, sekarang budak yang beza dua tahun pulak). Aku memang tak pernah tegur dia, sebab dia jauh lebih tua. Suatu hari tu, masa aku berlari-lari di koridor sekolah, aku tersungkur di depan dia. Memang memalukan. Tak cool langsung. Aku cuma mampu bangun, continue berlari dan menghilangkan diri. Kalau nak cover malu dengan buat2 terjatuh berulangkali dan kata "Ni cuma hobi", aku rasa kurang berkesan lakonan macam tu..

Tak lama lepas tu, baru aku dapat tau yang rupa2nya aku tersungkur tu sebab ada sorang budak laki pasang "jerat" masa aku tengah berlari-lari tu, so aku terlanggar "jerat" tu dan "terbang" dengan tak sengaja, sampai akhirnya mendarat di lantai koridor. Damn..

Crush keempat aku terjadi pada semester pertama Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth. Cikgu darjah (Puan Zuraida nama dia) melantik aku jadi Ketua Darjah semata2 sebab aku dapat markah penuh dalam ujian pertama Alam & Manusia (topik: "Tanah-Tanih"), dan dia menempatkan aku di antara dua orang awek. Awek di sebelah kiri aku adalah Penolong Ketua Darjah manakala awek di sebelah kanan aku adalah minah yang suka tiru kerja aku. Walaupun member2 satu kelas suka usik konon2 aku bercouple dengan Penolong Ketua Darjah tu, tapi aku sebenarnya syok kat minah yang suka tiru kerja aku tu. Kalau waktu belajar, minah tu memang lemah.. tapi kalau waktu sukan, dialah paling terror. Aku pulak terbalik.

Aku dan minah tu memang rapat la masa tu; bergurau-senda, bergelak-ketawa dan sebagainya.. tapi setakat tu sajalah "perhubungan" kitorang. Bila tiba semester kedua, aku dah kena pindah ke kelas lain pulak dah.. Aku terpaksa jadi bahan eksperimen sekolah..

Crush kelima aku terjadi pada semester kedua tu. Cepat jugak aku berubah hati.. maybe sebab aku dah anggap minah semester pertama tu terlalu jauh daripada aku (di kelas sebelah). Di kelas yang baru ni, member2 satu kelas suka usik konon2 aku bercouple dengan budak perempuan yang duduk di depan aku.. tapi aku sebenarnya minat kat budak perempuan lain.. Malangnya, awal2 lagi aku sedar yang aku gagal memenuhi citarasa budak perempuan yang aku minat tu.

Bukan apa.. masa tu, kulit aku masih cerah dan belum sawo matang macam sekarang. Budak perempuan yang aku minat tu pulak, taste dia pada budak lelaki yang berkulit gelap. Bagi dia, kulit gelap tu tanda macho. Selain tu, dia suka budak lelaki yang mat sukan. Sah2 aku tak menepati kedua-dua kriteria tu.

Sepanjang semester kedua Darjah 5 sampailah ke Darjah 6, aku berusaha untuk menggelapkan kulit aku. Aku pulun bersungguh2, main rounders dan main bola setiap petang dengan budak2 di satu taman perumahan (nama taman tu "Taman Wira"). Masa tu, padang permainan kami memang kat sebelah pantai, so aku dapat la sinaran matahari yang banyak. Konon2 nak dapatkan kulit yang gelap di samping menjadi mat sukan lah tu. Apabila padang di sebelah pantai tu ditutup (akibat kerja2 reclamation tanah), kawan2 aku di Taman Wira "bercuti" daripada main rounders dan bola. Aku pulak pergi main badminton di taman perumahan sebelah.

Akhirnya, kulit aku berjaya menjadi lebih gelap.. TETAPI.. by that time.. budak perempuan yang aku minat tu dah terpikat dengan sorang budak lelaki yang baru join kelas aku. Budak lelaki tu bukan sahaja macho (berkulit gelap hitam manis), malah dia memang terror bersukan, tak macam aku yang hampeh ni.. hehe..

Ye la ye la.. Actually, aku tau ada satu lagi faktor besar nape aku tak mungkin berjaya pikat budak perempuan yang aku minat tu. Something to do with my own failure to become a part of the "approved crowd" at the time.. hehe.. Apa2 je lah.. Kisah cinta zaman kanak2.. Alamak aku takde ending yang menarik la.. Ahh bior je la tergantung camni..

By the way, bila aku masuk sekolah berasrama penuh yang SEMUA LELAKI pulak, macam2 kisah lain yang terjadi (yang berkaitan dengan PEREMPUAN la).. tapi kalau aku nak blog tentang kisah2 zaman remaja di SDAR, aku akan guna blog "Nostalgia: SDAR" je lah..

06 May 2008

Kerek dan Poyo

Kadang2, aku suka me-musykil-kan diri dengan perkara2 yang tak penting. Aku panggil keadaan ni sebagai "kemusykilan sia2". Antara kemusykilan sia2 aku ialah bila manusia menggunakan satu perkataan untuk gambarkan maksud yang berbeza.

Masa aku kecik2 dulu, orang dewasa yang aku kenal telah guna perkataan "kerek" untuk gambarkan sifat eksyen / berlagak / macam bagus. Masa di sekolah asrama pulak, perkataan kerek tu jarang digunakan, tapi bila digunakan, maksudnya tetap sama, iaitu untuk gambarkan sifat eksyen / berlagak / macam bagus.

Masa aku banyak berkawan dengan budak2 dari sekolah2 lain pulak, aku mula sedar bahawa penggunaan perkataan kerek tu ada masanya tak membawa maksud yang sama.
Ada orang guna perkataan "kerek" untuk gambarkan sifat cool / terror / hebat. Aku tau lah, di sebelah selatan tanahair, memang ada orang guna perkataan "gerek" (dengan huruf "g") untuk gambarkan sifat cool / terror / hebat.. tapi entah camner "kerek" pun boleh membawa maksud yang sama dengan "gerek".

Oh ya, di utara tanahair pulak, perkataan "gerek" (dengan huruf "g") merujuk kepada "basikal", dan menurut kawan aku, di Sarawak, perkataan "gerek" (dengan huruf "g") merujuk kepada teman lelaki/teman wanita.

Anyway, perbezaan maksud "kerek" tu adalah kemusykilan sia2 aku yang dah expired. Sekarang ni, kemusykilan sia2 aku adalah tentang penggunaan perkataan "poyo" pulak. Perkataan ni digunakan oleh aku dan kawan2 sejak di universiti dulu, tapi aku tak tau perkataan ni berasal dari mana. Perkataan ni bermaksud eksyen / berlagak / macam bagus. Contoh2 ayat poyo:

Mamat poyo: Aku ni bukannya tak boleh dapat awek tu. Aku cuma tak nak je.

Minah poyo: Aku ni bukannya tak boleh dapat balak tu. Aku cuma tak nak je.

Hmm.. contoh2 ayat di atas memang redundant dan tak berapa kreatif, tapi the point is, itulah contoh2 ke-poyo-an mengikut pemahaman aku dan kawan2. Kami guna perkataan poyo untuk gambarkan sifat eksyen / berlagak / macam bagus.

However, sekarang ni, daripada apa yang aku duk baca/dengar daripada orang lain, ada juga orang guna perkataan poyo ni untuk gambarkan sifat lembik / lemah. Contohnya, "muka poyo" adalah muka yang kelihatan "toye" dan "blurr". Ada juga orang guna perkataan poyo ni untuk gambarkan sifat canggung / serba tak kena. Contohnya, "poyo je cara orang tu berjalan" bermaksud "orang tu berjalan dengan gaya yang serba tak kena".
Ada juga orang guna perkataan poyo ni untuk gambarkan sifat beria-ia/iyo-yo. Contohnya, "poyo je dia tu" ertinya "dia tu beria-ia saja". Ada juga orang guna perkataan poyo ni untuk gambarkan sifat over / jiwang karat. Contohnya, "aku rasa poyo je hari ni" boleh bermaksud "aku terasa jiwang karat je hari ni".

Aku ada banyak lagi kemusykilan sia2 macam ni.. tapi aku tergerak pulak untuk tulis pasal penggunaan perkataan kerek dan poyo ni. Maybe sebab aku dah beberapa kali pernah guna perkataan poyo dalam blog ni.

04 May 2008

Blog Dato' Seri Anwar Ibrahim, Blog Tun Mahathir Mohamad dan Blog Bapak Aku

Pada 23 Jun 2006, Puan Nurul Izzah Anwar bagitau aku yang bapaknya dah ada blog. Hampir dua tahun kemudiannya, iaitu pada 1 Mei 2008, Datin Paduka Marina Mahathir pulak bagitau aku yang bapaknya dah ada blog. Kedua-duanya wanita yang aku hormati. Kedua-duanya anak sulung kepada pemimpin2 negara. Kedua-duanya cukup sayangkan bapak masing2, walaupun mereka mempunyai pandangan yang bebas & tersendiri tentang sesetengah isu atau kaedah politik..

Hakikatnya, aku dah berpuluh-puluh tahun mendengar dan membaca apa bapak diorang duk kata pasal rakyat dan negara.. Sejak kecik lagi, aku berusaha menghadiri acara2 ceramah bapak diorang dan membaca sedikit-sebanyak hasil penulisan bapak diorang. Sejak kecik lagi, aku berusaha mengambil tahu tentang kisah2 bapak diorang di sebalik tabir dan menyampaikan idea2 atau perjuangan2 yang aku fikir baik. Sejak kecik lagi, aku berusaha memberi respon2 aku sendiri melalui kaedah2 halus dan kadang2 agak kasar terhadap perkara2 yang aku fikir TAK baik.. dan kini pula, aku boleh bandingkan semua itu dengan apa yang diperkatakan dalam blog2 bapak diorang..

Terus-terang, ada sesetengah perkara yang membuatkan aku cukup kecewa dengan pengikut2 taksub dan fanatik bapak diorang.. tapi aku tak dapat meluahkannya dalam hanya satu blog post di sini.


Aku bukanlah seorang wanita yang dihormati dan aku bukanlah anak sulung pemimpin negara seperti diorang, tapi kalaulah bapak aku ada blog nanti, dioranglah antara orang terawal yang aku akan bagitau.. Biarlah diorang pulak yang ambil tahu tentang apa bapak aku nak kata pasal rakyat dan negara..


Bapak aku hanyalah seorang rakyat biasa, tapi aku rasa banyak perkara baik yang rakyat biasa (macam bapak aku) boleh kongsi dengan pemimpin2 (atau anak2 pemimpin) negara.. Sama ada pemimpin2 (atau anak2 pemimpin) negara akan betul2 ambil tahu atau tidak tu, terpulanglah...

30 April 2008

Aku Kerapkali Dirogol

Aku berani bersumpah. Pengalaman2 yang aku bakal tulis ni benar2 belaka. Dah lama aku nak luahkan dan ceritakan, tapi aku cuma memendamkannya.. Semoga kali ni aku dapat luahkan dan ceritakan dengan tenang..

AYAT INI ADALAH KENYATAAN/FAKTA:
Orang lain kerap kali memasukkan sesuatu ke dalam tubuh badan aku, walaupun aku tak merelakannya.

Elemen2 penting di sini:
(i) orang lain;
(ii) memasukkan sesuatu ke dalam tubuh badan aku; dan
(iii) aku tak merelakannya.

Walaupun aku menganggapnya sebagai "rogol", keadaan yang aku maksudkan ni tak ditakrifkan sebagai rogol di bawah Kanun Keseksaan kita ataupun akta2 lain, maka aku tak dapat membuat laporan rasmi atau mengharapkan kawan2 dalam PDRM atau Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mereka yang buat perkara ni kepada aku.

Itu dari segi undang2 jenayah. Dari segi undang2 sivil pula, kalaupun perkara ni boleh tergolong sebagai kesalahan Tort, aku rasa susah aku nak buktikan secara spesifik yang kesalahan ni dilakukan oleh para pelaku.. elemen2 Tort tak lengkap..

Agaknya, inilah masalah yang dihadapi oleh orang lain yang macam aku. Kerap kali, bila keluar dari rumah, bila berada di tempat awam.. ada saja sesuatu benda yang dimasukkan ke dalam tubuh badan kitorang, walaupun kitorang tak merelakannya. "Sesuatu benda" yang aku maksudkan ni.. ialah asap rokok..

Sebelum sesiapa terus declare perang dengan aku, elok aku kata di sini yang aku TAK benci kepada semua orang yang merokok. Malah, aku rasa.. mungkin 90% daripada kawan2 aku - baik lelaki mahupun perempuan - adalah active smokers (golongan yang hisap batang ... rokok), manakala 10% yang selebihnya adalah passive smokers (golongan yang terpaksa hisap asap rokok orang lain dan menghadapi risiko kesihatan yang lebih teruk).

Bagi aku, selagi orang tak kacau aku dari segi fizikal atau mental, selagi itu aku tak kacau dia. Kawan2 aku pun tau, kalau diorang nak rokok sampai sasau setiap hari pun aku tak kisah, sebab apa2 yang diorang buat, asalkan tak melibatkan aku, aku anggap sebagai hal peribadi masing2. Aku ada pandangan tertentu untuk diri aku sendiri, tapi hak masing2 adalah hak masing2.

Pada masa yang sama, aku respek kawan2 aku yang memang tau aku tak suka jadi passive smoker. Bila diorang melepak dengan aku, diorang dengan baik hatinya akan budget supaya asap rokok diorang pergi ke tempat lain. Dalam ruang yang sempit pun diorang boleh bagi asap rokok diorang cilok keluar. Giler abi dowh. Itu tandanya diorang ada skill.. dan diorang hormat member. Bagi aku, orang yang menghormati orang lain, layak dihormati kembali.

Yang jadi masalah bagi aku hanyalah bila asap rokok orang benar2 mencerobohi tubuh badan aku dalam keadaan2 yang mana aku jelas tak merelakannya (ada juga keadaan yang mana aku merelakannya, contohnya bila aku masuk ke tempat yang aku tau sememangnya penuh dengan asap rokok). Maka, dalam keadaan tubuh badan aku ditembusi jauh ke dalam TANPA kerelaan aku, aku menganggap diri aku telah DIROGOL (bunyik dayus siot.. ah pedulik apa.. ini blog aku!).

Bukannya aku tak reti mengelak asap rokok atau tak reti pilih tempat yang jauh dari perogol2 ni, tapi kadang2 tu, walaupun aku dah elak atau pilih tempat sehabis baik pun, adaaa je jerebu melanda dan mengubah indeks pencemaran udara di sekeliling aku.. Malah, dalam ruang "non-smoking" di restoran atau hotel pun adaaa je perogol yang selamba menunjukkan kehebatannya membentuk isyarat asap..

Bukan semua perokok berperangai macam perogol2 ni. Kalangan yang melampau ni sajalah yang membuatkan aku marah.. Perogol2 terlampau ni, secara sedar atau tak sedar (dengan niat atau tidak), adalah manusia yang gagal menghormati orang lain..

Diorang adalah penceroboh yang MENCABUL KEHORMATAN orang lain. Sebab apa aku kata macam tu? Sebab diorang gagal menghormati TUBUH BADAN orang lain..

Diorang adalah penceroboh individu; MENGISI LUBANG hidung dan saluran pernafasan orang lain DENGAN sisa BATANG yang mempunyai lebih daripada 4000 jenis racun yang bakal tersebar di seluruh badan orang itu (kalau diorang setakat nak rosakkan badan sendiri tu, tak kisah lah, tapi ini badan orang lain)..

Diorang juga adalah penceroboh negara; Aku bukannya BERMAIN-MAIN jika aku katakan bahawa diorang umpama boneka "pihak musuh" yang bertugas merosakkan paru2 di DADA rakyat tempatan DENGAN k
esudian diorang untuk terus menyokong syarikat2 rokok yang RAKUS.. Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin (kartel/industri rokok rata2 dah kena belasah oleh mahkamah2 dan undang2 di banyak negara maju, so sekarang syarikat2 rokok ni memberi tumpuan kepada rakyat negara2 membangun sebagai pasaran "pak sanggup" jangka panjang)..

Hmm.. Jadi, apa solution untuk masalah rogol macam ni?

Mungkin orang macam aku patut bawak kipas kecik, yang saiznya macam bekas pepper spray tu. Kalau ada orang nak merogol je, kitorang boleh halakan kipas kecik tu kat muka para perogol, supaya asap rokok diorang pusing balik ke muka diorang. Diorang kan suka asap rokok? Buat apa bagi asap rokok tu kepada kitorang yang tak nak asap rokok? Membazir je.. Sekurang2nya, kipas kecik kitorang mampu tolong diorang dalam me-maksimum-kan nikmat merokok.. Kekeke.. Tapi ye lah ye lah.. Aku tau lah.. segala racun daripada asap rokok bukannya boleh dihalau dengan satu kipas kecik tuu pun..

23 April 2008

Amateur-ish Attempts at Haiku

Since I'm no good at Japanese, I decided to try out the 5-7-5 syllable pattern in English instead..

THE BIGGER CREATURES:


Ants toil in a team
patiently they carry crumbs
and do not nibble.


THE ELEGANT SILENCE
:

Guard-dog madly barks
stray-dog, calmly passes by
understands the job.


THE WOMAN WHO GETS LITTLE CREDIT:

Toddler reaches out
crying for dad's warm embrace
mum is left alone.


THE SUDDEN REMINDER:

A flash of lightning
shortly the night becomes day
my lamp is humbled.