11 March 2008

Asyik-Asyik Pasal Pilihanraya

Ramai orang mempunyai hobi baru sekarang ini, iaitu menganalisis keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12). Sesetengah pakar yang muncul di akhbar dan TV memberi "diagnosis dan kesimpulan" mereka yang kadang2 membuatkan aku tertanya2 adakah mereka buat kajian secukup-cukupnya tentang aspirasi pengundi atau adakah pakar2 ini sekadar meneka.

Aku tidaklah sehebat mereka, tapi aku pun dah banyak juga membaca dan mendengar pandangan2 rakyat biasa di sana-sini. Kalau nak diceritakan, aku adalah seorang yang berkampung di negeri BN yang dikepung oleh negeri majoriti-PAS sedangkan aku tinggal di negeri majoriti-PKR dan bekerja di wilayah majoriti-DAP. Macam tu lah betapa majmuknya sempadan2 politik hidup aku sekarang ni. Cukup warna-warni.

Anyway, mula2 aku nak tulis ringkasan "pemerhatian am" aku, dan selepas tu aku nak senaraikan faktor2 duniawi mengapa agaknya BN kalah banyak kerusi dalam PRU12. Semuanya berdasarkan pendapat2 pengundi sendiri, so sila tambah points kalau ada lagi..


Ringkasan Pemerhatian Am:

1. Yang tewas paling teruk dalam BN bukanlah UMNO, tetapi parti2 komponen lain (di Semenanjung Malaysia). Sungguhpun begitu, UMNO turut mendapat amaran yang jelas daripada para pengundi. Jika UMNO tidak muhasabah diri dan jika BN tidak mengadakan reformasi diri, maka UMNO-BN mungkin terpaksa menghadapi risiko yang lebih besar lagi pada masa akan datang. Apakah bentuk perubahan2 yang patut dilaksanakan? Selain mengkaji faktor2 kekalahan dalam PRU12 ini, perlulah dirujuk juga janji2 BN dalam PRU tahun 2004 serta fahami mengapa BN mencapai kejayaan yang amat besar ketika itu.

2. Parti-parti yang dahulunya dikenali sebagai "Barisan Alternatif" (BA*) tidak boleh perasan, syok sendiri atau lupa diri juga. Tidak semestinya kemenangan yang diperolehi adalah disebabkan pengundi amat kagum terhadap BA. Mungkin juga ramai yang mengundi BA sebagai protes jangka pendek terhadap UMNO-BN semata-mata. Maka, tugas BA adalah untuk membuktikan keupayaan diri sepenuhnya (all-out) dengan peluang2 yang ada. Jika BA gagal membuktikan model Kerajaan yang baik, mungkin susahlah untuk BA bertahan lama sebagai Kerajaan2 Negeri, apatah lagi kalau BA berhasrat menjadi Kerajaan Malaysia.

3. Keputusan PRU12 bukanlah kemenangan mana2 parti politik, tetapi kemenangan rakyat yang telah akhirnya mendapat "check and balance" di Parlimen dan di beberapa DUN iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kedah (negeri2 yang tiada majoriti 2/3). Hakikatnya, "check and balance" ini diperlukan di mana2, tidak kiralah di negeri2 yang ditadbir oleh BN ataupun negeri2 yang ditadbir oleh BA. Yang penting, rakyat perlu bijak dan berani bersuara jika terdapat apa2 yang tak kena, tak kiralah sama ada kritikan itu ditujukan kepada BN atau BA. Rakyat tidak boleh benarkan para pemimpin dan wakil rakyat duduk selesa (complacent), lepak (relax) atau sekadar memberikan orang lain penyapu (pass the broom) dan menghilangkan diri (disappear).


Faktor-Faktor Penentu SEBELUM Musim PRU12:

1. Ada orang tak berapa yakin dengan pengurusan ekonomi negara, dengan peningkatan harga barang mendadak dan sebagainya.

2. Ada orang rasa tak selamat di negara sendiri dengan peningkatan kadar jenayah yang dianggap mendadak.

3. Ada orang tak puas hati dengan tiadanya kebebasan media (Antara puncanya: Pengenalan undang-undang tertentu sejak awal 1980an).

4. Ada orang tak puas hati dengan tiadanya kebebasan badan kehakiman (Antara puncanya: Krisis Perlembagaan pada lewat 1980an, Kemuncaknya: Video VK Linggam).

5. Ada orang tak puas hati dengan proses pilihanraya di Malaysia (Kemuncaknya: Perhimpunan BERSIH).

6. Ada orang tak puas hati dengan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa dalam Kerajaan sedangkan antara janji-janji BN dalam PRU 2004 ialah akan memerangi segala gejala negatif tersebut.

7. Ada orang (terutamanya di kalangan pengikut Tun Mahathir) tak puas hati dengan Pak Lah dan menuduh menantu Pak Lah sebagai penjahat yang turut bekerjasama dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mereka anggap jahat. Ini termasuk tuduhan bekerjasama dengan musuh-musuh negara.

8. Ada orang (terutamanya di kalangan pengikut Dato' Seri Anwar) tak puas hati dengan Pak Lah dan menuduh Pak Lah meneruskan dasar2 Tun Mahathir Mohamad yang mereka anggap jahat. Ini termasuk tuduhan mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pemberian projek dan peluang2 perniagaan.

9. Ada orang (lebih2 lagi orang Cina) tak suka laungan pemimpin2 tertentu dalam Perhimpunan Agung UMNO. Mereka anggapnya sebagai ugutan bersenjata (keris) yang angkuh.

10. Ada orang (lebih2 lagi orang India) tak puas hati dengan tindakbalas Kerajaan terhadap para pemimpin dan penyokong HINDRAF.

11. Banyak lagi kot.. sila tambah faktor2 lain..


Faktor-Faktor Penentu SEMASA Musim PRU12:

1. Undi-undi "swing voters" diramal akan pergi kepada BA dan bukan BN. Ini kerana BA memberi janji keadilan peluang ekonomi yang sama rata untuk semua kaum jika mereka dapat memerintah Malaysia.

2. Sesetengah jentera UMNO sendiri tidak bersetuju dengan sesetengah calon yang dianggap "calon parachute". Perkara ini dianggap sebagai mengkhianati aspirasi akar umbi, maka berlakulah boikot kempen dan boikot undi di kalangan penyokong2 UMNO sendiri. Jentera parti2 komponen lain dalam BN tetap terus menyokong calon masing2.

3. Setiap saluran utama media massa dipenuhi dengan kempen BN. Walaupun ini sebenarnya sesuatu yang biasa di Malaysia sejak dahulu lagi, namun ada yang menganggap bahawa kempen dalam slot-slot iklan, berita mahupun perbincangan-perbincangan selepas slot berita kali ini adalah agak keterlaluan. Perbuatan "overkill" ini telah menjadikan pengaruh media alternatif lebih berkesan di kalangan mereka yang mahu mendapatkan kepastian tentang sesuatu isu.

4. Kenyataan Tun Mahathir bahawa beliau menzalimi Dato' Seri Anwar telah disebarkan. Sebenarnya, beliau hanya bercakap sedemikian dengan gaya perli/sarkastik sahaja, bukannya sebagai pengakuan.

5. Dato' Seri Anwar telah dihentam habis2an oleh media arus perdana. Sesetengah pemimpin BN kini dan terdahulu mendakwa bahawa "Anwar tidak lagi relevan/berpengaruh". Situasi ini membantu beliau mendapat perhatian orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan sebenar beliau. Ceramah2 beliau di seluruh negara menarik ribuan atau puluhan ribu pendengar setiap kali, tak kira hujan atau panas (bergantung kepada tempat). Ini menampakkan betapa berbezanya laporan media arus perdana dengan realiti rakyat biasa.

6. Sesetengah pemimpin BN kini dan terdahulu telah memperkecil-kecilkan PKR dan menggelarnya sebagai parti "nyawa-nyawa ikan" yang akan "berkubur". Ada orang yang melihat ini sebagai keangkuhan BN. (Keputusan PRU12: PKR menjadi Parti Pembangkang terbesar di Parlimen*, PKR bertindak sebagai penentu Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Perak*, Pulau Pinang dan Kedah dengan menjadi "rakan DAP" dan "rakan PAS").

7. Banyak lagi kot.. sila tambah faktor2 lain..

*NOTA - Blog post ini telah ditulis lama SEBELUM wujudnya nama "Pakatan Rakyat", SEBELUM berlakunya kes lompat parti di kalangan wakil rakyat PKR dan SEBELUM Kerajaan Negeri Perak diambil alih oleh BN.