16 February 2008

Poem by a Teenager (5) | Puisi Seorang Remaja (5)

>
Gah

Kutatap buku Sejarah Duniaku

betapa gahnya piramid, tembok
.... .... dan runtuhan itu:

benda-benda ajaib di dunia.


Kerana berkuasanya manusia

maka dibina piramid itu

piramid yang menyaksikan

terhapusnya nyawa-nyawa

tertimbusnya tulang-belulang

golongan rakyat bergelar hamba

akibat ketaatan dan ketakutan

kepada seorang Tuhan

yang mengerah dan bermegah di puncaknya.


Kerana halobanya manusia

maka didirikan tembok itu

tembok yang melambangkan

lemasnya jiwa

gemasnya perasaan

golongan rakyat bergelar hamba

akibat ketaatan dan ketakutan

kepada secebis keturunan mewah

yang khuatir “hartanya” kan pecah.


Kerana degilnya manusia

maka runtuhlah kota-kota itu

runtuhan yang membuktikan

handalnya kita

gagalnya kita

golongan makhluk bergelar manusia

akibat membuktikan ketamadunan

kepada saudara-saudara sendiri

yang asyik berlumba entah ke mana.


Kututup buku Sejarah Duniaku

sejarah penindasan, penguasaan

.... ....
dan kejatuhan:
tidaklah seajaib mana.


Oleh:
Wira Budiman Azizan, 16 tahun (Julai 1996)

semasa mengulangkaji Sejarah Dunia


Diterbitkan dalam:

Dewan Siswa
, Dewan Bahasa & Pustaka (November 1996)
Antologi
Harapan di Joyrampur, Dewan Bahasa & Pustaka (1997)

Memenangi:

Hadiah Sastera Siswa BR-DBP, 1996