23 July 2008

Penulisan Sebagai Teman

Berikut adalah rencana yang mengisi ruangan 'Alumni MPR' dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)

[Tajuk: sama seperti tajuk blog post ni]
[Gambar: aku tengah melepak dengan laptop dan secawan kopi]

Oleh: Wira Budiman

Semasa bergelar remaja dahulu, saya tidak pernah berkesempatan mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Setiap kali saya mendapat jemputan untuk menyertai MPR, jadual cuti saya sudahpun terisi serta bertembung dengan penglibatan dalam beberapa kegiatan lain seperti pertandingan bahas tahunan Piala Perdana Menteri (PPM).


Sungguhpun tidak dapat mengikuti MPR, saya telah dijemput menjadi ahli Kelab Alumni MPR setelah memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP sebanyak empat kali (1994-1997).


Saudara Hizairi Othman, iaitu Presiden pertama Kelab Alumni MPR, telah melantik saya sebagai ahli jawatankuasa kelab. Saya memegang jawatan kecil itu dari tahun 1998 hingga tahun 2000, dan sempat menyaksikan betapa gigihnya Saudara Hizairi dan rakan-rakan jawatankuasa tertinggi yang lain memimpin kelab muda yang diwarnai pelbagai personaliti itu.

Penulisan Semasa Kanak-Kanak

Saya mula berjinak-jinak dengan penulisan kreatif ketika berusia 7 tahun. Setiap pagi, guru saya di Holbrooks Primary School, England, meminta murid-murid menulis apa sahaja yang ingin diluahkan. Saya pula mengambil kesempatan itu untuk mencipta kisah-kisah dongeng asal-usul nama binatang dan sebagainya. “Karya-karya” saya sering dihargai oleh guru dan saya selalu diminta membacakan hasil penulisan saya kepada seluruh kelas.


Ketika di rumah pula, saya selalu melihat bapa saya tekun menaip tesis kajiannya. Apabila beliau berehat, saya pula yang menumpang mesin taipnya untuk menaip karangan secara suka-suka. Apabila beliau membeli komputer pertamanya, saya turut gembira kerana dapat menumpang komputer pula.


Lama-kelamaan, saya menaip karangan-karangan yang lebih serius yang melibatkan pandangan-pandangan saya (sebagai seorang kanak-kanak) tentang isu-isu pendidikan, alam sekitar, pengangkutan awam, perbandingan pengalaman di tiga negara dan lain-lain. Ketika berusia 9 tahun, saya mula menaip apa yang saya anggap sebagai sebuah “manuskrip buku luahan pandangan seorang kanak-kanak” yang menyentuh pelbagai isu serius tersebut.


Semasa berusia 11 tahun, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth. Ketika manuskrip “buku” saya hampir siap, ketika itulah juga saya menerima nasib yang malang. Suatu virus komputer telah mencerobohi disket kesayangan saya, menyebabkan saya kehilangan hampir seluruh manuskrip yang ditaip selama ini!


Pada zaman disket masih berukuran 5.25 inci itu, tiada perkakasan atau perisian komputer secanggih sekarang. Kesilapan besar saya ketika itu ialah saya tidak menyimpan hasil penulisan saya dalam beberapa salinan atau dalam bentuk salinan keras (hard-copy). Hanya beberapa muka surat sahaja yang tercetak untuk tujuan semakan format. Akibatnya, cita-cita saya untuk menerbitkan buku pertama pada usia 11 tahun bertajuk “Sebelum Dua Belas” tidaklah kesampaian.

Penulisan Semasa Bersekolah

Selepas Darjah 6, saya mendapat tawaran untuk belajar di sebuah sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR). Ketika itu, SDAR terletak di Jalan Sikamat, Seremban. Sekolah lelaki ini telah banyak mengajar saya takrifan hidup berdikari. Budaya di SDAR ketika itu benar-benar menampar dan menerajang saya ke alam realiti. Pelbagai pengalaman hitam dan putih tercampur-baur selama separuh dasawarsa.


Berlatarkan keadaan ini, penulisan menjadi saluran untuk saya “membebaskan diri” agar tidak sekadar berada dalam cengkaman pagar asrama. Idea-idea saya lazimnya menyentuh dan berkias tentang isu-isu kenegaraan dan kemasyarakatan, tetapi sesekali saya menulis juga tentang pengalaman peribadi. Ibu bapa saya, iaitu Puan Patimah Shamsu dan Dr Azizan Bahari, sentiasa memberi sokongan walaupun berada jauh di utara tanahair.


Pada mulanya, saya menulis untuk simpanan peribadi sahaja. Namun, ketika berusia 13 tahun (awal 1993), saya memilih untuk mencuba nasib dan telah menghantar esei pendapat saya kepada Dewan Siswa. Alhamdulillah, pendapat saya telah disiarkan dan semenjak itulah saya rajin “berurusan” dengan media.


Secara ringkasnya, apa yang saya pernah tulis pada usia 12 tahun (1992) sehingga 17 tahun (1997) telah menemui tempatnya dalam beberapa akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro, Minda Pelajar, Youthquake, Akhbar Jiran (Jabatan Perpaduan Masyarakat) dan yang paling kerap; Dewan Siswa. Kebanyakan hasil penulisan saya yang tersiar adalah puisi, manakala yang selebihnya adalah cerpen dan esei.


Saya bersyukur kerana dikurniakan rezeki memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP sebanyak empat kali dari tahun 1994 hingga tahun 1997 menerusi puisi-puisi “Racun”, “Malang?!”, “Gah” dan “Menara”. Puisi-puisi ini kemudiannya telah dimuatkan dalam empat buah antologi DBP iaitu Suatu Impian, Perjuangan, Harapan di Joyrampur dan Perjalanan Jarum Jam. Puisi-puisi lain yang pernah dipertandingkan untuk hadiah yang sama ialah “Terjajah (Di Mana Bumi Kupijak)” dan “Penghujung Bulatan”. Sehingga hari ini, saya menghargai sokongan dan pesanan daripada para pengkritik dan juri Hadiah Sastera Siswa DBP, iaitu Profesor Rahman Shaari, Dr. Lim Swee Tin, A. Rahim Abdullah dan Allahyarham Othman Puteh.


Karya-karya saya yang pernah memenangi hadiah dalam pertandingan-pertandingan yang lain pula ialah cerpen “Kisah Anak Bangsa”, cerpen “Bersalah” dan puisi “Nasib Ayam”.


Saya juga menjalankan tugas-tugas sebagai pengarang dan penulis majalah bulanan dan majalah tahunan SDAR. Selepas tamat persekolahan, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bagaimanapun, atas keinginan saya untuk menjadi mahasiswa di Malaysia, serta minat saya untuk mengikuti perkembangan politik tanahair ketika itu, saya memilih pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM).

Penulisan Semasa Bergelar Mahasiswa

Sepanjang menjadi mahasiswa UM, saya sempat mengikuti krisis politik yang melanda negara pada penghujung dekad 1990an serta kesan-kesannya kepada gerakan-gerakan politik kampus. Saya terus menulis dalam penerbitan-penerbitan kecil di peringkat fakulti, kampus dan luar kampus. Sudah jarang sekali karya-karya dan esei-esei pendapat saya dihantar kepada media arus perdana, walaupun masih ada yang tersiar dalam beberapa akhbar utama.


Masa dan tenaga saya lebih ditumpukan kepada penyelarasan dan pengurusan projek-projek mahasiswa serta kegiatan-kegiatan seni pentas, Sungguhpun begitu, saya tidaklah pula terpisah terus dengan dunia sastera. Kerapkali saya diminta mengacara majlis secara langsung dan apabila mengacara dalam bahasa Melayu, saya cuba memastikan bahawa pengucapan saya lengkap dengan ciptaan pantun dan syair yang bersesuaian serta kata-kata yang menonjolkan keindahan bahasa Melayu.


Saya juga mula melibatkan diri dalam kegiatan mendeklamasi puisi dalam lakonan. Pada tahun 1999, penganjur Festival Seni UM telah memperkenalkan kategori pertandingan baru iaitu manifestasi puisi. Pasukan saya telah menjuarai pertandingan sulung manifestasi puisi ini. Semenjak 1999 juga, saya telah dijemput untuk melakonkan puisi dalam pelbagai jenis acara. Dalam suatu majlis sempena memperingati Sasterawan Rusia Alexander Pushkin, saya telah menterjemahkan puisinya mengikut pola rima asal a-a-b-b kepada bahasa Melayu dan melakonkannya. Dalam acara-acara lain pula, seperti Malam Tinta Kencana DBP (2000), saya diberi peluang melakonkan puisi-puisi nukilan sendiri.


Antara acara-acara puisi dalam lakonan yang tidak dapat dilupakan adalah yang melibatkan sambutan-sambutan peringkat kebangsaan. Pada tahun 2000, saya telah melakonkan puisi “Bukannya Lilin” dalam suatu acara yang dirasmikan oleh seorang menteri kabinet. Menteri tersebut kemudiannya menjemput saya untuk melakonkan puisi sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan pula. Pada tahun 2001, saya melakonkan puisi “Superman Itu Wujud” yang disaksikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Pelancaran Tahun Sukarelawan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Selesai sahaja acara tersebut, Datuk Seri telah memanggil saya dan bertanya tentang minat saya, termasuklah sama ada saya ingin berpolitik. Memandangkan ketika itu saya sudah tidak melihat diri saya sebagai ahli politik, saya sekadar membuatkan ekspresi muka kurang berminat. Datuk Seri memahami reaksi saya.


Saya pernah beberapa kali dijemput menyampaikan puisi-puisi nukilan sendiri dalam rancangan televisyen “Anjung Budi” dan slot berita RTM.

Penulisan Semasa Sudah Bekerja

Apabila tamat peperiksaan akhir di UM, saya ditawarkan kerja sebagai Wartawan Penyiaran Eksekutif di TV3 dan bertugas menerbitkan program-program perniagaan berbahasa Inggeris. Saya kemudiannya menjalani Latihan Dalam Kamar (pupillage) di sebuah firma guaman sehingga ditauliahkan sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Pada tahun 2005, saya menubuhkan firma perunding Wira Budiman & Associates sebagai wahana kecil-kecilan untuk menjalankan program-program pembangunan modal insan serta perhubungan awam.


Sejak melewati gerbang dunia pekerjaan, saya hanya terlibat dengan beberapa penerbitan kecil. Beberapa buah puisi saya telah dimuatkan ke dalam antologi KataHati yang dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006. Saya juga telah ditugaskan menulis buku nostalgia sejarah berkulit keras iaitu Lakaran Warisan yang diterbitkan pada tahun 2007. Peranan saya dalam penerbitan-penerbitan lain pula adalah sebagai penterjemah atau penyemak. Adakalanya, bila saya fikir perlu atau saya rasa mahu, saya menulis di blog peribadi saya iaitu www.wirabudiman.blogspot.com. Ilham rambang tetap tercetus pada pelbagai waktu, namun luahan pemikiran dan perasaan saya tidak semuanya saya paparkan untuk khalayak umum.


Sama ada untuk dikongsi atau sebagai penawar diri, penulisan tetap menjadi teman setia yang mengiringi saya sepanjang perjalanan hidup.