01 January 2023

Kemaskini 2023 - Andainya Aku Pergi Dahulu

Pejam celik sudah masuk tahun 2023. Jika aku panjang umur dan sempat melepasi bulan Mei tahun ini, maka itu bermakna sudah 15 tahun aku tinggal di rantau asing. Begitu cepat masa berlalu. 

Baru-baru ini, ada sahabat lama yang mahu aku pulang dan bersara di Malaysia. Aku menghargai ingatan dan keprihatinan beliau. Mungkin kerana rapatnya persahabatan kami, maka beliau tidak segan-silu untuk bertanya: "Kau nak mati di mana? Di sana kah? Nak mati di luar negara?"

Secara jujurnya, aku memang tidak cerewet langsung tentang lokasi untuk mati. Jika sudah sampai masanya untuk aku pergi, maka di situlah aku pergi, tak kiralah di Malaysia atau di luar Malaysia. Sempadan-sempadan negara yang dicipta oleh makhluk bernama manusia ini, tidak membawa apa-apa perbezaan kepada nasib kita selepas kita meninggal dunia. Jika ditakdirkan aku pergi ketika berada di mana-mana ceruk dunia pun, aku terima dengan redha. Aku ini bukannya sesiapa.

Sejak zaman muda remaja, kerapkali aku memikirkan tentang kematian. Kemudian pada bulan Mac 2014, selepas kehilangan pesawat 9M-MRO (penerbangan MH370), aku menulis catatan di bawah ini di Facebook, mungkin kerana terbayang jika tragedi seperti itu menimpa diri. Memang ini sahajalah yang aku harapkan, andainya aku pergi dahulu. Memandangkan Facebook zaman sekarang sudah ada konsep "pinned post", maka aku menjadikan ini sebagai "pinned post" baru-baru ini.

"After all is said and done, we, too, will be leaving this world. Sooner or later, our journey, too, shall end. Hopefully, we will leave in Peace, while our family and friends will take our passing with patience, calmness, acceptance, contentment.. May they forgive us for whatever wrong we may have done them. May they continue to enjoy their happy lives and be grateful for all that they're blessed with. Life, indeed, is short."