Berikut adalah rencana yang mengisi ruangan 'Alumni MPR' dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
[Tajuk: sama seperti tajuk blog post ni]
[Gambar: aku tengah melepak dengan laptop dan secawan kopi]
Oleh: Wira Budiman
Semasa bergelar remaja dahulu, saya tidak pernah berkesempatan mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Setiap kali saya mendapat jemputan untuk menyertai MPR, jadual cuti saya sudahpun terisi serta bertembung dengan penglibatan dalam beberapa kegiatan lain seperti pertandingan bahas tahunan Piala Perdana Menteri (PPM).
Sungguhpun tidak dapat mengikuti MPR, saya telah dijemput menjadi ahli Kelab Alumni MPR setelah memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP sebanyak empat kali (1994-1997).
Saudara Hizairi Othman, iaitu Presiden pertama Kelab Alumni MPR, telah melantik saya sebagai ahli jawatankuasa kelab. Saya memegang jawatan kecil itu dari tahun 1998 hingga tahun 2000, dan sempat menyaksikan betapa gigihnya Saudara Hizairi dan rakan-rakan jawatankuasa tertinggi yang lain memimpin kelab muda yang diwarnai pelbagai personaliti itu.
Penulisan Semasa Kanak-Kanak
Saya mula berjinak-jinak dengan penulisan kreatif ketika berusia 7 tahun. Setiap pagi, guru saya di Holbrooks Primary School, England, meminta murid-murid menulis apa sahaja yang ingin diluahkan. Saya pula mengambil kesempatan itu untuk mencipta kisah-kisah dongeng asal-usul nama binatang dan sebagainya. “Karya-karya” saya sering dihargai oleh guru dan saya selalu diminta membacakan hasil penulisan saya kepada seluruh kelas.
Ketika di rumah pula, saya selalu melihat bapa saya tekun menaip tesis kajiannya. Apabila beliau berehat, saya pula yang menumpang mesin taipnya untuk menaip karangan secara suka-suka. Apabila beliau membeli komputer pertamanya, saya turut gembira kerana dapat menumpang komputer pula.
Lama-kelamaan, saya menaip karangan-karangan yang lebih serius yang melibatkan pandangan-pandangan saya (sebagai seorang kanak-kanak) tentang isu-isu pendidikan, alam sekitar, pengangkutan awam, perbandingan pengalaman di tiga negara dan lain-lain. Ketika berusia 9 tahun, saya mula menaip apa yang saya anggap sebagai sebuah “manuskrip buku luahan pandangan seorang kanak-kanak” yang menyentuh pelbagai isu serius tersebut.
Semasa berusia 11 tahun, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth. Ketika manuskrip “buku” saya hampir siap, ketika itulah juga saya menerima nasib yang malang. Suatu virus komputer telah mencerobohi disket kesayangan saya, menyebabkan saya kehilangan hampir seluruh manuskrip yang ditaip selama ini!
Pada zaman disket masih berukuran 5.25 inci itu, tiada perkakasan atau perisian komputer secanggih sekarang. Kesilapan besar saya ketika itu ialah saya tidak menyimpan hasil penulisan saya dalam beberapa salinan atau dalam bentuk salinan keras (hard-copy). Hanya beberapa muka surat sahaja yang tercetak untuk tujuan semakan format. Akibatnya, cita-cita saya untuk menerbitkan buku pertama pada usia 11 tahun bertajuk “Sebelum Dua Belas” tidaklah kesampaian.
Penulisan Semasa Bersekolah
Selepas Darjah 6, saya mendapat tawaran untuk belajar di sebuah sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR). Ketika itu, SDAR terletak di Jalan Sikamat, Seremban. Sekolah lelaki ini telah banyak mengajar saya takrifan hidup berdikari. Budaya di SDAR ketika itu benar-benar menampar dan menerajang saya ke alam realiti. Pelbagai pengalaman hitam dan putih tercampur-baur selama separuh dasawarsa.
Berlatarkan keadaan ini, penulisan menjadi saluran untuk saya “membebaskan diri” agar tidak sekadar berada dalam cengkaman pagar asrama. Idea-idea saya lazimnya menyentuh dan berkias tentang isu-isu kenegaraan dan kemasyarakatan, tetapi sesekali saya menulis juga tentang pengalaman peribadi. Ibu bapa saya, iaitu Puan Patimah Shamsu dan Dr Azizan Bahari, sentiasa memberi sokongan walaupun berada jauh di utara tanahair.
Pada mulanya, saya menulis untuk simpanan peribadi sahaja. Namun, ketika berusia 13 tahun (awal 1993), saya memilih untuk mencuba nasib dan telah menghantar esei pendapat saya kepada Dewan Siswa. Alhamdulillah, pendapat saya telah disiarkan dan semenjak itulah saya rajin “berurusan” dengan media.
Secara ringkasnya, apa yang saya pernah tulis pada usia 12 tahun (1992) sehingga 17 tahun (1997) telah menemui tempatnya dalam beberapa akhbar dan majalah seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro, Minda Pelajar, Youthquake, Akhbar Jiran (Jabatan Perpaduan Masyarakat) dan yang paling kerap; Dewan Siswa. Kebanyakan hasil penulisan saya yang tersiar adalah puisi, manakala yang selebihnya adalah cerpen dan esei.
Saya bersyukur kerana dikurniakan rezeki memenangi Hadiah Sastera Siswa DBP sebanyak empat kali dari tahun 1994 hingga tahun 1997 menerusi puisi-puisi “Racun”, “Malang?!”, “Gah” dan “Menara”. Puisi-puisi ini kemudiannya telah dimuatkan dalam empat buah antologi DBP iaitu Suatu Impian, Perjuangan, Harapan di Joyrampur dan Perjalanan Jarum Jam. Puisi-puisi lain yang pernah dipertandingkan untuk hadiah yang sama ialah “Terjajah (Di Mana Bumi Kupijak)” dan “Penghujung Bulatan”. Sehingga hari ini, saya menghargai sokongan dan pesanan daripada para pengkritik dan juri Hadiah Sastera Siswa DBP, iaitu Profesor Rahman Shaari, Dr. Lim Swee Tin, A. Rahim Abdullah dan Allahyarham Othman Puteh.
Karya-karya saya yang pernah memenangi hadiah dalam pertandingan-pertandingan yang lain pula ialah cerpen “Kisah Anak Bangsa”, cerpen “Bersalah” dan puisi “Nasib Ayam”.
Saya juga menjalankan tugas-tugas sebagai pengarang dan penulis majalah bulanan dan majalah tahunan SDAR. Selepas tamat persekolahan, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bagaimanapun, atas keinginan saya untuk menjadi mahasiswa di Malaysia, serta minat saya untuk mengikuti perkembangan politik tanahair ketika itu, saya memilih pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM).
Penulisan Semasa Bergelar Mahasiswa
Sepanjang menjadi mahasiswa UM, saya sempat mengikuti krisis politik yang melanda negara pada penghujung dekad 1990an serta kesan-kesannya kepada gerakan-gerakan politik kampus. Saya terus menulis dalam penerbitan-penerbitan kecil di peringkat fakulti, kampus dan luar kampus. Sudah jarang sekali karya-karya dan esei-esei pendapat saya dihantar kepada media arus perdana, walaupun masih ada yang tersiar dalam beberapa akhbar utama.
Masa dan tenaga saya lebih ditumpukan kepada penyelarasan dan pengurusan projek-projek mahasiswa serta kegiatan-kegiatan seni pentas, Sungguhpun begitu, saya tidaklah pula terpisah terus dengan dunia sastera. Kerapkali saya diminta mengacara majlis secara langsung dan apabila mengacara dalam bahasa Melayu, saya cuba memastikan bahawa pengucapan saya lengkap dengan ciptaan pantun dan syair yang bersesuaian serta kata-kata yang menonjolkan keindahan bahasa Melayu.
Saya juga mula melibatkan diri dalam kegiatan mendeklamasi puisi dalam lakonan. Pada tahun 1999, penganjur Festival Seni UM telah memperkenalkan kategori pertandingan baru iaitu manifestasi puisi. Pasukan saya telah menjuarai pertandingan sulung manifestasi puisi ini. Semenjak 1999 juga, saya telah dijemput untuk melakonkan puisi dalam pelbagai jenis acara. Dalam suatu majlis sempena memperingati Sasterawan Rusia Alexander Pushkin, saya telah menterjemahkan puisinya mengikut pola rima asal a-a-b-b kepada bahasa Melayu dan melakonkannya. Dalam acara-acara lain pula, seperti Malam Tinta Kencana DBP (2000), saya diberi peluang melakonkan puisi-puisi nukilan sendiri.
Antara acara-acara puisi dalam lakonan yang tidak dapat dilupakan adalah yang melibatkan sambutan-sambutan peringkat kebangsaan. Pada tahun 2000, saya telah melakonkan puisi “Bukannya Lilin” dalam suatu acara yang dirasmikan oleh seorang menteri kabinet. Menteri tersebut kemudiannya menjemput saya untuk melakonkan puisi sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan pula. Pada tahun 2001, saya melakonkan puisi “Superman Itu Wujud” yang disaksikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Pelancaran Tahun Sukarelawan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Selesai sahaja acara tersebut, Datuk Seri telah memanggil saya dan bertanya tentang minat saya, termasuklah sama ada saya ingin berpolitik. Memandangkan ketika itu saya sudah tidak melihat diri saya sebagai ahli politik, saya sekadar membuatkan ekspresi muka kurang berminat. Datuk Seri memahami reaksi saya.
Saya pernah beberapa kali dijemput menyampaikan puisi-puisi nukilan sendiri dalam rancangan televisyen “Anjung Budi” dan slot berita RTM.
Penulisan Semasa Sudah Bekerja
Apabila tamat peperiksaan akhir di UM, saya ditawarkan kerja sebagai Wartawan Penyiaran Eksekutif di TV3 dan bertugas menerbitkan program-program perniagaan berbahasa Inggeris. Saya kemudiannya menjalani Latihan Dalam Kamar (pupillage) di sebuah firma guaman sehingga ditauliahkan sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Pada tahun 2005, saya menubuhkan firma perunding Wira Budiman & Associates sebagai wahana kecil-kecilan untuk menjalankan program-program pembangunan modal insan serta perhubungan awam.
Sejak melewati gerbang dunia pekerjaan, saya hanya terlibat dengan beberapa penerbitan kecil. Beberapa buah puisi saya telah dimuatkan ke dalam antologi KataHati yang dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006. Saya juga telah ditugaskan menulis buku nostalgia sejarah berkulit keras iaitu Lakaran Warisan yang diterbitkan pada tahun 2007. Peranan saya dalam penerbitan-penerbitan lain pula adalah sebagai penterjemah atau penyemak. Adakalanya, bila saya fikir perlu atau saya rasa mahu, saya menulis di blog peribadi saya iaitu www.wirabudiman.blogspot.com. Ilham rambang tetap tercetus pada pelbagai waktu, namun luahan pemikiran dan perasaan saya tidak semuanya saya paparkan untuk khalayak umum.
Sama ada untuk dikongsi atau sebagai penawar diri, penulisan tetap menjadi teman setia yang mengiringi saya sepanjang perjalanan hidup.
23 July 2008
Penulisan Sebagai Teman
Posted by
Wira Budiman
at
5:45 am
Labels: Activities, Personal Stories, Poems in Malay (Puisi-Puisi dalam BM)
15 July 2008
Six Old Poems | Enam Buah Puisi Lama
Alang-alang aku dah bukak cerita pasal puisi “Manis” dalam blog post yang sebelum ni, aku fikir elok saja aku paste keenam-enam buah puisi yang tersiar dalam Dewan Sastera Jun 2008. Lagipun, itu majalah bulan lepas, so tak salah untuk aku siarkan semuanya dalam blog ni. Rencana yang turut dimuatkan dalam majalah tu, bertajuk “Penulisan sebagai Teman”, akan aku paste dalam blog post yang seterusnya.
Anyway, puisi2 berikut ada yang ditulis semasa zaman sekolah, ada yang ditulis semasa zaman universiti. Samalah macam puisi2 yang aku paste di sini beberapa bulan lalu.. Dah lama dah..
Superman Itu Wujud
Ketika tahun umurku tiga
cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “Superman hanyalah rekaan pengarang
.... .... berpakaian dalam dan terbang-terbang
.... .... benarkah dia kaujadikan ikutan?
.... .... kelak kau mati lompat bangunan.”
Dewasa sangkakan aku bodoh!
Ketika tahun umurku enam
tetap cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tidakkah kausedar muslihat asing
.... .... Superman itu sebenarnya pancing
.... .... mestikah ‘hero’ berkulit putih, bermata biru?
.... .... kelak Baratlah menjadi kiblatmu.”
Dewasa sangkakan aku bodoh!
Ketika tahun umurku sembilan
Masih cita-citaku ingin menjadi...Superman!
.... .... MEREPEK, kata orang dewasa, DIA TIDAK WUJUD
.... .... “tugas kau belajar, kemudiannya bekerja
.... .... menjadi kaya mendapat nama
.... .... bukankah itu cita-cita bangsa?
.... .... kelak kau akan matang juga.”
Dewasa sangkakan aku bodoh!
Wahai dewasa golongan penguasa
jangan kerana kau sudah dewasa
.... .... kaufikir dirimu benar sentiasa
jangan kerana kumasih kecil
.... .... kaufikir diriku berakal kerdil.
Aku bukannya budak hingusan bodoh
yang mudah diceroboh fahaman hodoh
atau dipengaruh kelakuan tak senonoh.
Cita-citaku ingin menjadi Superman
.... .... bukan kerana dia “orang terbang”
.... .... bukan kerana kukiblatkan Barat
.... .... bukan kerana kubenci realiti
namun kagumku hanyalah cuma
.... .... pada usaha dan sumbangan bermakna
.... .... dia yang tak pernah meminta-minta
.... .... balasan nama, pangkat & harta!
SUPERMAN ITU WUJUD!
Dan dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana pantasnya memintas peluru
.... .... tapi kerana ikhlasnya membantu insan yang perlu
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana gagahnya menggugah jentera
.... .... tapi kerana tabahnya membela yang terabai, terdera
dia sukar dilawan
.... .... bukan kerana kuasa luarbiasa
.... .... tapi kerana budi dan jasa.
Dia sukar dilawan
kerana dia sukarelawan!
Oleh:
Wira Budiman Azizan
sempena Tahun Sukarelawan Antarabangsa
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Manis
Ada yang gelap, pudar
ada yang cerah, terang
.... .... ada yang pendek
.... .... ada yang panjang
ada yang lembut, licin
ada yang keras, kasar
.... .... ada yang kecil
.... .... ada yang besar.
Sejak bermula
pelbagai jenis
.... .... sudah sempurna
.... .... baik-buruknya
gula-gula
bersifat manis
.... .... bukan kerana
.... .... rupa bentuknya.
Oleh:
Wira Budiman Azizan
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Taasub
Tersebar khabar nan berperisa
selera wartawan antarabangsa:
“M pengotor, firaun diktator
penggila kuasa, pembela pemangsa
.... .... pesta undinya mencerap palsu
.... .... akta kejinya menyerap isu
mulia mahkamahnya didokong sampah
media penyembahnya dikongkong sumpah
.... .... dan mulut
.... .... yang benar tak dapat menjamah.”
Tuduhan asing terhadapmu M
tak mungkin membuatkan kuterpedaya
jangan kau bimbang, pemimpinku M
Milosevic Serbia Raya.
Tersebar khabar nan berpewarna
tinta pembangkang dalam negara:
“M penyamun, diktator firaun
pembolot harta, pembelot cinta
.... .... dasarnya tiada penerapan telus
.... .... sasarnya pada pemerapan fulus
amanah rapuhnya menyara ‘kroni’
kerenah angkuhnya mendera madani
.... .... dan tangan
.... .... yang salah tak dapat digari.”
Tuduhan samseng terhadapmu M
tak mungkin membuatkan kupercaya
jangan kau bimbang, pemimpinku M
Milosevic Serbia Raya.
Kau sempurna, kau bijaksana
penambat, penyekat sahabat durjana
kau luarbiasa, kau berjasa
pengubat, pengangkat martabat bangsa.
Kaulah wira, kaulah juara
berkesan, berani, berwawasan, murni
akan kukenang, akan kucanang
jangan kau bimbang, pemimpinku M!
Oleh:
Wira Budiman Azizan (5-7 Oktober 2000)
sempena kejatuhan Slobodan Milosevic
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Bukannya Lilin
Andainya kuingin pertahankan
suatu perumpamaan lazim
cukuplah kusamakanmu
dengan “lilin nan menyumbangkan cahaya
dalam kegelapan penuh bahaya
tatkala diri teraniaya”
namun itu
tetap tidak kupercaya!
Dalam menyumbangkan cahaya
garis-garis sinar lilin kan tempang
sekali dihalang pepejal sebarang.
Dalam menerangkan kegelapan
nyalaan lilin kan layu
sekali disapu angin yang lalu.
Dalam membiarkan diri teraniaya
manfaat lilin kan selesai
sekali terurai sumbu dipakai.
Walau kusedari di kalangan yang lain
ada juga lilin yang tulen
dirimu bukan seperti mereka
kerana ibadat kerjayamu suatu perjuangan
kerana ketabahanmu suatu teladan
kerana manfaat pengorbananmu suatu keabadian.
Keranamu
perumpamaan lazim menjadi zalim...
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 18 tahun (Februari 1998)
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Malam Air Mata Lelaki
Air mata kita
malam ini
kelemahan kaum Adam
.... .... atau
kekuatan persaudaraan terpendam?
Kita perlu malu
andainya malam ini
kanta mata kita
beku tanpa rohnya
kering tak beriring.
Kita perlu malu
andainya malam ini
diari memori lari
mengewap tanpa jasadnya
hilang tak dikenang.
Mata-mata yang merah
pipi-pipi yang basah
suara serak terpatah-patah
mengungkap kembali segala sejarah
persekampungan separuh dasawarsa
persahabatan sepenuh rasa.
Selepas malam ini
kita pasti berjumpa lagi
kita pasti bermesra kembali
berlawak jenaka pelbagai gaya
tetapi pastinya juga
keadaan tak akan sama
kerana malam ini
adalah sempadan suasana.
Maka anak-anak jantan
menangislah malam ini
kenanglah malam ini
kerana malam ini tak mungkin kembali
dan
kita tak perlu malu.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 17 tahun (16 Disember 1996)
sempena suatu majlis perpisahan
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Isy, Isy, Isy...
Malam ini
meskipun lena yang kulaparkan
meskipun mimpi indah yang kudahagakan
belum dapat kutidur lagi
mungkin kerana tadi
sepanjang siang kusaksikan
suatu pesta seni
lukisan-lukisan kehidupan
kulihat hamba-hamba bergelar raja
kulihat raja-raja bergelar hamba
kulihat enggang;
.... .... hidupnya senang
.... .... .... .... langitnya lapang
kulihat pipit;
.... .... hidupnya perit
.... .... .... .... langitnya sempit
itupun
baru sesudut yang kutinjau
di pesta seni itu
isy, isy, isy...
gantikanlah temanya
dan benarkanlah aku tidur
sekenyang-kenyangnya.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 16 tahun (Ogos 1996)
Diterbitkan dalam:
Dewan Sastera, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 2008)
Posted by
Wira Budiman
at
11:50 pm
27 June 2008
Nelson Mandela, Konsert Hari Ini, Keadilan Antara Kaum, Puisi "Manis"
"Freee-eee.. Nelson Mandela.."
Lirik lagu tu masih terngiang-ngiang di kepala aku. Ketika itu tahun 1988. Aku masih kecil. Rakyat UK telah mengadakan konsert besar-besaran di Stadium Wembley, England, sebagai tanda protes mereka terhadap dasar perkauman rejim Apartheid di Afrika Selatan ketika itu.. mereka, bersama warga dunia, menuntut pembebasan Nelson Rolihlahla Mandela..
Banyak telah berlaku semenjak itu. Dasar Apartheid telah dimansuhkan di Afrika Selatan. Nelson Mandela telah dibebaskan, malah sempat memimpin negaranya sebagai Presiden. Beliau terus menjadi inspirasi buat pejuang2 keadilan dan anti-perkauman di seluruh dunia. Aku pula menjadi remaja dan seterusnya dewasa, menyaksikan pelbagai sifat perkauman yang masih wujud di sekeliling aku. Ya lah. Itu realiti.
Hari ini, suatu konsert amal besar-besaran bakal diadakan untuk meraikan ulangtahun hari lahir Nelson Mandela yang ke-90. Acara ini bertujuan membantu perjuangan terkininya dalam meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS di rantau Afrika. Menyaksikan keterujaan media di UK memaparkan persiapan untuk acara ini hanya mengingatkan aku kepada konsert di Stadium Wembley yang diadakan 20 tahun dahulu. Kebetulan aku berada di sini semula ketika ini.
Sejak dibebaskan, Nelson Mandela telah melibatkan diri dalam pelbagai isu serta penyelesaian pelbagai konflik di rantau Afrika (konflik2 peribadi tu lain cerita la). Sungguhpun begitu, beliau barangkali akan lebih dikenang sebagai pejuang keadilan antara kaum. Puisi "Manis" adalah antara puisi2 aku yang tersiar baru2 ini. Yang memahami cara penulisan aku mungkin dapat mengagak apakah kaitannya dengan perjuangan insan2 seperti Nelson Mandela.
[Nota ditambah pada 15/7/2008: Puisi "Manis" telah di-delete di sini dan di-paste ke dalam blog post yang seterusnya.]
Posted by
Wira Budiman
at
5:23 pm
Labels: On Being Human, Personal Stories, Poems in Malay (Puisi-Puisi dalam BM)
17 February 2008
Cukuplah Sepuluh
Saya tak paste kesemua puisi yang pernah diterbitkan. Saya paste 10 saja. Yang lain2 saya longgokkan di tempat lainlah. Di sini agak leceh. Setiap kali paste, kena ubah format dsb. Untuk kekalkan visual patterns, kena guna character putih. OK, at least tercapai juga hajat. NOTA: Puisi2 ni di-paste mengikut turutan (1) hingga (10) dan bermula dari bawah.
Posted by
Wira Budiman
at
8:25 am
Labels: Notes to Myself, Poems in Malay (Puisi-Puisi dalam BM)
Poem by a Teenager (10) | Puisi Seorang Remaja (10)
>
Kerana Mereka Bukan Marhaen
Dengan kuasa karismanya
ia mengatur halatuju rakyat
mempergunakan para boneka
demi menghiburkan penonton terleka
umpama tok dalang wayang kulit
- dalang si politikus?
Dengan kuasa pengaruh massanya
ia melaungkan paradigma rakyat
mempergunakan suara penuh mengasyikkan
demi menyebarkan helah bidasan
umpama tukang karut dikir
- karut si media?
Dengan kuasa wangnya
ia melukis, mengukir ceritera rakyat
mempergunakan radas yang lemah dan setia
demi memuaskan dirinya berkarya
umpama pelukis dan pengukir
- seni si samseng korporat?
Politikus mencipta masalah yang baru
agar dilupakan masalah yang lama
media membongkar masalah tercatu
agar disorokkan yang lebih utama
dan samseng korporat tak pernah malu
menjadi perasuah sistem bermasalah
Tak mesti ku tak mengerti
segala sontoloyo nan meloyakan
meskipun aku hanyalah
seorang watak caturan tok dalang itu
sebaluk irama nyanyian tukang karut itu
setitis warna calitan pelukis itu
secungkil garis cakaran pengukir itu...
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 18 tahun (25 Disember 1997)
Diterbitkan dalam:
Antologi KataHati, SuaraSuara Publication (2006)
Posted by
Wira Budiman
at
3:58 am
Poem by a Teenager (9) | Puisi Seorang Remaja (9)
>
Model
Wanita ‘panas’ dalam iklan itu
rambutnya berkilau lembut memukau
wanita di atas panas jalan ini
rambutnya adalah racau ribut kemarau.
Wanita ‘panas’ dalam iklan itu
maskaranya melentikkan alis yang zahir
wanita di atas panas jalan ini
maskaranya adalah peluh dahi yang mengalir.
celaknya menampakkan seni terwarna
wanita di atas panas jalan ini
celaknya adalah lebam cincin mata yang tak lena.
Wanita ‘panas’ dalam iklan itu
gincunya bermutu jenama terniaga
wanita di atas panas jalan ini
gincunya adalah kering bibir yang kontang dahaga.
Wanita ‘panas’ dalam iklan itu
bedaknya menusuk haruman bergaya
wanita di atas panas jalan ini
bedaknya adalah asap dan debu kerja raya.
Wanita ‘panas’ dalam iklan itu
pelembap kulitnya beradun ceria
wanita di atas panas jalan ini
pelembap kulitnya adalah sinar terik suria.
.... .... mungkinkah membuatkan ramai terpaku
.... .... meskipun lenggok wajah ditokok tambah
yang di atas panas jalan ini
.... .... mungkinkah langsung tak siapa peduli
.... .... meskipun tak lelah jasanya dicurah.
Mungkinkah juga
aku yang terpaku peduli
kerana yang di atas panas jalan ini
bukan sebarang buruh kasar
di kancah simen dan keruh tar
tetapi seorang ibu yang mencari rezeki
dengan deria yang menewaskan lelaki.
Kepadanya hatiku berkata;
Cik puan yang gagah perkasa,
.... .... Sepekat pepasir batu yang kaubancuh
.... .... .... .... hingga kulitmu rimas menggelupas
.... .... pekat lagi simen semangat yang tertaruh
.... .... .... .... pada lantai perjuanganmu yang terasas.
Cik puan yang tabah berjasa,
.... .... Sepanas cair pekat yang kauturap
.... .... .... .... hingga kulitmu buntu menggerutu
.... .... panas lagi tar semangat yang hinggap
.... .... .... .... pada lorong azammu yang terbuku.
Insan jelita dalam iklan itu
mengapa perlu dipuja ditiru?
Jelita insan di atas jalan ini
jangan sesekali dihina diperli!
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 17 tahun (catatan asal: awal 1997)
Diterbitkan dalam:
Antologi KataHati, SuaraSuara Publication (2006)
Posted by
Wira Budiman
at
3:47 am
Poem by a Teenager (8) | Puisi Seorang Remaja (8)
>
Dia Mengaku Dirinya Patriotik
Dia mengaku dirinya patriotik
katanya negara kita indah
namun dia jugalah
membuang sisa sesenang rasa.
Dia mengaku dirinya patriotik
katanya negara kita kaya khazanah alam
namun dia jugalah
membunuh pepohon tua dan teman mergastua.
Dia mengaku dirinya patriotik
katanya negara kita berbudaya jati
namun dia jugalah
meniru yang celaru, memperkaya yang sia-sia.
Dia mengaku dirinya patriotik
katanya negara kita aman sejahtera
namun dia jugalah
kuat mengata membabi buta.
Dia mengaku dirinya patriotik
katanya negara kita berpemimpin berwibawa
namun dia jugalah
menyogok habuan menyorok tangan.
Dia mengaku dirinya patriotik
katanya negara kita berwawasan
namun dia jugalah
mementingkan diri meremehkan madani.
Dialah yang menjadikan negara kita
.... .... tong sampah
.... .... keranda khazanah
.... .... perumah masalah
dan lebih menyedihkan
kitalah dia.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 17 tahun (Januari 1997)
Diterbitkan dalam:
Akhbar Berita Minggu, NSTP (16 Mac 1997)
Posted by
Wira Budiman
at
3:40 am
Poem by a Teenager (7) | Puisi Seorang Remaja (7)
>
Nasib Ayam
Hari itu
kuziarah satu rumah
.... .... .... .......rumah nenek-nenek
.... .... .... .......rumah atuk-atuk
Seorang nenek menghampiriku
dia memerhati seekor anak ayam
aku pun memerhati anak ayam itu.
Kata nenek itu
“anak ayam itu
“dahulunya anak si ibu ayam
“ibu ayam yang tabah, luhur bertelur
“ibu ayam yang sabar, siang malam mengeram
“tetapi akhirnya
.... .... ibu ayam itu
.... .... .... .... ditinggalkan
“kasihan ibu ayam, ya?”
Nenek itu kurang siuman, sangkaku.
Kata nenek itu lagi
“anak ayam itu
“kini tak ingat si ibu ayam
“ibu ayam yang mengasihi dirinya
“ibu ayam yang berkorban untuknya
“tetapi sekadar
.... .... mengenali
.... .... .... .... alam mewahnya
“kasihan ibu ayam, ya?”
Nenek itu kurang waras, sangkaku.
Tiba-tiba
nenek itu menjerit perit
.... .... ...u tercekik terpekik
.... .... ...u melaung meraung
.... .... .... .... .... .... kegilaan
dua orang pegawai
.... .... ...u mengheret nenek itu
.... .... .... .... .... .... jauh dariku.
Nenek itu gila, sangkaku.
Hari ini
kuterserempak dengan bangkai
.... .... bangkai seekor ayam betina
serta-merta
kuteringat nenek gila
.... .... dan cerita ibu ayamnya
Nenek itu
usahlah dianggap kurang siuman
.... .... .... .... .... .p kurang waras
.... .... .... .... .... .p atau gila
nenek itu
sekadar menceritakan
.... .... .... .... .... .p kisah dirinya
Kasihan nenek itu.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 15 tahun (Jun 1995)
Disiarkan dalam:
Akhbar Minda Pelajar, NSTP (10-16 Februari 1997)
Memenangi:
Pertandingan Puisi PPD Seremban, 1995
Posted by
Wira Budiman
at
2:22 am
Poem by a Teenager (6) | Puisi Seorang Remaja (6)
>
Menara
Setinggi puncak
menara-menara itukah
.... .... kesopanan
.... .... dan budi bahasa dibina?
seindah reka bentuk
menara-menara itukah
.... .... warisan seni
.... .... dan budaya diabadikan?
seteguh asas
menara-menara itukah
.... .... pegangan
.... .... dan pendirian masyarakat dipupuk?
seketat kawalan
menara-menara itukah
.... .... keindahan
.... .... dan keaslian mayapada dibela?
sehebat berita
menara-menara itukah
.... .... pembangunan akal
.... .... dan intelek dilaungkan?
semewah ongkos
menara-menara itukah
.... .... agihan adil
.... .... pendapatan dijamin?
atau
menara-menara itu sekadar pemukau
agar kita terdongak ke atas
kagum dan bangga senantiasa
tanpa menyedari bahawa di bawah
terlalu banyak yang kurang dan lemah.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 16 tahun (1 Oktober 1996)
menyingkap “kejayaan-kemajuan” 1996
Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa, Dewan Bahasa & Pustaka (Mei 1997)
Antologi Perjalanan Jarum Jam, Dewan Bahasa & Pustaka (1998)
Memenangi:
Hadiah Sastera Siswa BR-DBP, 1997
Posted by
Wira Budiman
at
12:17 am
16 February 2008
Poem by a Teenager (5) | Puisi Seorang Remaja (5)
>
Gah
Kutatap buku Sejarah Duniaku
betapa gahnya piramid, tembok
.... .... dan runtuhan itu:
benda-benda ajaib di dunia.
Kerana berkuasanya manusia
maka dibina piramid itu
piramid yang menyaksikan
terhapusnya nyawa-nyawa
tertimbusnya tulang-belulang
golongan rakyat bergelar hamba
akibat ketaatan dan ketakutan
kepada seorang Tuhan
yang mengerah dan bermegah di puncaknya.
Kerana halobanya manusia
maka didirikan tembok itu
tembok yang melambangkan
lemasnya jiwa
gemasnya perasaan
golongan rakyat bergelar hamba
akibat ketaatan dan ketakutan
kepada secebis keturunan mewah
yang khuatir “hartanya” kan pecah.
Kerana degilnya manusia
maka runtuhlah kota-kota itu
runtuhan yang membuktikan
handalnya kita
gagalnya kita
golongan makhluk bergelar manusia
akibat membuktikan ketamadunan
kepada saudara-saudara sendiri
yang asyik berlumba entah ke mana.
Kututup buku Sejarah Duniaku
sejarah penindasan, penguasaan
.... ....
tidaklah seajaib mana.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 16 tahun (Julai 1996)
semasa mengulangkaji Sejarah Dunia
Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa, Dewan Bahasa & Pustaka (November 1996)
Antologi Harapan di Joyrampur, Dewan Bahasa & Pustaka (1997)
Memenangi:
Hadiah Sastera Siswa BR-DBP, 1996
Posted by
Wira Budiman
at
11:50 pm
Poem by a Teenager (4) | Puisi Seorang Remaja (4)
>
Penghujung Bulatan
Kata orang
orang itu gila.
Aku memerhati orang gila itu
dia melukis bulatan di atas tanah
dan berjalan-jalan mengelilinginya
aku bertanya orang gila itu
“engkau buat apa?”
jawabnya
“aku lukis suatu bulatan
“aku berjalan mengelilinginya
“aku mahu sampai
.... .... ke penghujungnya.”
Kemudian kubaca rencana
tentang masalah dunia
kumahu uji orang gila itu
lalu kubertanya
“apa penyelesaian masalah dunia?”
jawabnya selamba
“mereka lukis suatu bulatan
“mereka berjalan mengelilinginya
“mereka mahu sampai
.... .... ke penghujungnya.”
Aku nyaris ketawa
mendengar igauan orang gila itu
tetapi kusedar tiba-tiba
orang gila itu
.... bukan sebenarnya gila
para penyelesai masalah dunia
.... merekalah yang gila
dan bulatan di atas tanah itu
.... sudah tentu
.... .... tidak berpenghujung.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 15 tahun (Mei 1995)
Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa, Dewan Bahasa & Pustaka (Ogos 1995)
Posted by
Wira Budiman
at
9:30 pm
Poem by a Teenager (3) | Puisi Seorang Remaja (3)
>
Malang?!
Malangkah nasibku ini?
.... .... mengikut arus tanpa arah
.... .... .... .... ombak statik
.... .... .... .... di lautan tanpa air
.... .... menenggelamkan si miskin
.... .... menyeksa kesederhanaan
.... .... .... .... nikmat kemajuan...
Malangkah nasibku ini?
.... .... mengharap sinar tanpa cahaya
.... .... .... .... suria gelap
.... .... .... .... di hutan tanpa pohonan
.... .... menghela racun
.... .... menghembus keaslian
.... .... .... .... nikmat kemajuan...
Malangkah nasibku ini?
.... .... mengalir darah tanpa warna
.... .... .... .... titisan rindu
.... .... .... .... di medan nostalgia
.... .... menidakkan hakikat
.... .... mengenang keindahan
.... .... .... .... nikmat kemajuan...
Malangkah nasibku ini?
Aargh!!
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 13-14 tahun (1993)
Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa, Dewan Bahasa & Pustaka (April 1995)
Antologi Perjuangan, Dewan Bahasa & Pustaka (1996)
Memenangi:
Hadiah Sastera Siswa BR-DBP, 1995
Posted by
Wira Budiman
at
8:15 pm
Poem by a Teenager (2) | Puisi Seorang Remaja (2)
>
Racun
Seorang pendidik tua
tenggelam di arus usia
sunyi dipencilkan waktu
tidak dikenali
tidak dihargai.
meratah sisa-sisa hidupnya
berencahkan penyesalan abadi
hidupnya terseksa
hidupnya tersia-sia.
Seorang pendekar tua
mengintai panorama anak bangsa
dari tingkap kesahihan
tidak bererti perarakan itu
.... .... jika air mata terlinang
tidak bermakna tugu itu
.... .... jika patung yang dikenang.
Seorang pemimpin tua
terperangkap dek pemikiran silam
kebebasankah dicapainya?
kejayaankah dirangkulnya?
Namun
insan itu tetap bertanya
apakah erti kemerdekaan
jika racun penjajah
terus disembur
.... .... dan bebas meresap
.... .... .... .... semau-maunya?
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 13 tahun (Ogos 1993
Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa, Dewan Bahasa & Pustaka (Januari 1994)
Antologi Suatu Impian, Dewan Bahasa & Pustaka (1995)
Memenangi:
Hadiah Sastera Siswa BR-DBP, 1994
Posted by
Wira Budiman
at
6:35 pm
15 February 2008
Poem by a Teenager (1) | Puisi Seorang Remaja (1)
>
Terjajah
(Di Mana Bumi Kupijak)
Suatu beban
…. …. menekan
…. …. menenggelamkan
…. …. …. …. diri kerdil ini
…. …. memerah
…. …. mengerah
…. …. …. …. tubuh rekah ini
…. …. menggores
…. …. menghiris
…. …. …. …. hati luka ini
…. …. memencilkan
…. …. merahsiakan
…. …. …. …. kisah seribu satu pengorbanan.
Malam, pagi, petang, senja
dengan sepoi-sepoi bahasanya
…. …. …deruannya
…. …. …desingannya
terdendang puisi tanpa simpati
nan bisa sebati
bersama madah awan misteri
dan helah bulan-matahari.
Kupikul beratnya
kurangkul guratnya
namun penyamun persada ibunda
terus mendirus si pacat laknat
mengerah darah, menyejat keringat
tanpa jelmaanya.
Tidak kusangka semenjak mula
bumi pusaka terpijak, kubela
demi mereka yang bijak menghela.
Tetapi hakikat
…. …. …tetap menyekat
di bumi yang kusua
…. …. …langitnya terjunjung jua.
Oleh:
Wira Budiman Azizan, 12-13 tahun (1992)
Diterbitkan dalam:
Dewan Siswa, Dewan Bahasa & Pustaka (Jun 1993)
Posted by
Wira Budiman
at
12:13 am
14 February 2008
Some Poems by a Teenager: Introduction
It has been almost two years since I posted "Poems of a School Boy" in this blog. I said to myself that I would post more of those poems written & published during my teenage years, especially after the kind & encouraging request from Ms Azura.. but then, my old poems disk couldn't be accessed and I was too LAZY to retype those poems.. That was almost two years ago, of course..
Recently, however, I was slapped by a string of incidents that happened within a short period of time:
i) a call from a writers group to compile published poems (a different group this time);
ii) a call from a magazine editor to write about my past involvement in literature;
iii) comments by Dr Rem in this blog & my "Memories of SDAR" blog (about creative writing);
iv) a comment by Ms Hana in "The Naked Climatologist" blog (about my old poems);
v) a message from Bro Shahrizan in Friendster (about my 'lunatic' poems);
vi) a comment by Mr Leslie Chan in "The Storyteller" blog (about literature); and
vii) a dream I had about dying and not being able to post my old poems in here.
There you go. Seven incidents. Well, thanks to God and the guys above, I've finally STARTED to retype the poems! Yipppeee!!! **Syok sendiri** OK, while I take my own sweet time to finish retyping them, let me provide a list of the published ones.. Poem titles are in RED while publication titles are in BLUE.
LIST OF THE PUBLISHED ONES
In Dewan Siswa (monthly magazine)
6 poems:
- Terjajah (Di Mana Bumi Kupijak)
- Racun - also compiled in the anthology "Suatu Impian"
- Malang?! - also compiled in the anthology "Perjuangan"
- Penghujung Bulatan
- Gah - also compiled in the anthology "Harapan di Joyrampur"
- Menara - also compiled in the anthology "Perjalanan Jarum Jam"
In Minda Pelajar (it used to be a bi-weekly newspaper)
2 poems:
- Nasib Ayam
- Sekeping Sijil Penentu?
In Harian Metro (newspaper)
1 verse:
- Ungkapan Merdeka
In Berita Harian (mainstream newspaper)
1 poem:
- Budi Judi?
In Berita Minggu (mainstream newspaper)
1 poem:
- Dia Mengaku Dirinya Patriotik - also published in a SASBADI workbook & an SPM Trial Exams paper (in a certain state)
In Mingguan Malaysia (mainstream newspaper)
1 poem:
- Rupa-Rupanya Berpura-Pura
In KataHati (anthology)
4 poems:
- Model
- Kerana Mereka Bukan Marhaen
- Antara "Jangka Masa Panjang" dengan "Jangka Masa Lebih Panjang"
- Muara Selut
Err.. that's about it.. OK OK I admit it's not much.. but still.. retyping is boring work.. and I'm particular about getting the original line margins or line patterns for my poems.. so I deserve to be excited for being able to START retyping.. Hmm.. apart from retyping, I must also decide how I'm going to post the poems.
For each future blog post, shall I post the poems one-by-one, two-by-two, three-by-three, publication-based or altogether in one go? **Yawn** I'm sleepy. Will decide later.
Posted by
Wira Budiman
at
2:43 am